HAMILTON terima trofi juara dunia F1 buat kali keempat.
HAMILTON terima trofi juara dunia F1 buat kali keempat.
Reuters

VERSAILLES (PERANCIS): Pemandu Britain, Lewis Hamilton menerima trofi juara dunia Formula Satu (F1) buat kali keempat dalam satu majlis penyampaian hadiah di sebuah istana bekas monarki Perancis, semalam.

Pengerusi F1, Chase Carey menyaksikan majlis gilang gemilang itu, apabila Presiden Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) yang baharu dipilih semula, Jean Todt menyampaikan trofi berkenaan kepada Hamilton yang menjuarai gelaran keempatnya di GP Mexico bulan lalu.

“Tahun yang amat menakjubkan,” kata Hamilton kepada hadirin. “Saya harap tahun depan akan menjadi lebih baik untuk anda semua. Saya sedar saya perlu berusaha melakukan sesuatu dengan lebih baik.”

Hamilton memenangi sembilan daripada 20 perlumbaan dalam kalendar 2017, selain mencipta rekod petak pertama perlumbaan ke-72 sepanjang kariernya dan mengumpul mata di setiap grand prix.

Ditanya mengenai kemuncak musim ini, Hamilton menyatakan perlumbaan di laman sendiri GP British adalah satu perkara paling diingati kerana menerima sokongan padu selepas dibelenggu kegagalan untuk mengambil bahagian pada acara di London sebelum itu.

Dia juga memberitahu media betapa walaupun dirinya tidak gemar menghadiri majlis ataupun berada di pentas, dia menikmati untuk melihat pihak lain meraih kejayaan.

Mercedes menjuarai kedua-dua kejuaraan untuk kali keempat berturut-turut namun bos pasukan, Toto Wolff berkata, musim 2017 turut menyajikan kesukaran.

Dalam Pemandu Red Bull dari Belanda, Max Verstappen pula mengatasi senarai pelumba lain termasuk rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo bagi meraih anugerah Personaliti Terbaik untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Saya sentiasa cuba menjadi jujur dan tepat jadi saya fikir ia membolehkan saya sekali lagi meraih gelaran tahun ini. Ia musim sukar tetapi saya banyak belajar daripadanya,” kata Verstappen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 4:35 PM