IRFAN (dua kanan) memberi taklimat kepada pemain sebelum menjalani latihan pertama di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus. -Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
IRFAN (dua kanan) memberi taklimat kepada pemain sebelum menjalani latihan pertama di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus. -Foto MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Malik Muhamad


SKUAD Terengganu atau nama barunya Terengganu FC I (TFC I) yang berhajat untuk memburu satu trofi dan tempat ketiga Liga Super musim depan memulakan latihan pertamanya di Padang C Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak petang semalam.

Bagaimanapun hanya dua kelibat pemain import iaitu bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo dan pemain kelahiran Kemboja, Thierry Chantha Bin hadir bersama pasukan.

Selain itu dua bekas pemain Kuantan FA iaitu Abdul Malik Mat Ariff dan Shahrul Aizad turut menyertai latihan pertama semalam.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata, latihan pertama itu sebagai sesi pemanas badan selepas berehat lebih sebulan sebaik saingan Liga Perdana berakhir Oktober lalu.

“Latihan pertama ini hanya dihadiri sebahagian pemain manakala selebihnya bakal bersama pasukan pada minggu depan.

“Tiga lagi pemain import juga bakal hadir minggu depan selepas semua dokumen mereka selesai,” kata jurulatih berpengalaman berusia 66 tahun itu.

Sebelum ini selain dua pemain import kuota Asia dan Asia Tenggara itu, turut disenaraikan pemain kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre, bekas pemain import Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck dan pemain pertahanan kelahiran Montenegro, Igor Zonjic.

Pemain tempatan yang turut dipancing Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terdiri daripada tiga bekas pemain T-Team iaitu Mohamad Kamal Azizi Mohd Zambri, Mohd Fauzi Abdul Kadar dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris. Turut tersenarai dalam skuad itu ialah bekas pemain Kedah, Mohd Fitri Omar dan bekas penjaga gol utama Pahang, Wan Mohd Azraei Wan Teh.

Mengulas lanjut, Irfan yang berjaya membantu pasukan kembali semula beraksi dalam kancah Liga Super musim depan selepas setahun tersingkir ke Liga Perdana mengakui latihan dan persiapan awal perlu dilakukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan PBSNT.

“Biarpun jadual perlawanan Liga Malaysia masih panjang, tapi persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan pemain benar-benar cergas selain mampu membentuk pasukan yang mantap,” katanya.

Musim ini bekas pemain kebangsaan itu berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan PBSNT apabila berjaya muncul naib juara Liga Perdana sekali gus layak beraksi dalam pentas Liga Super musim depan.

Pada 2011 jurulatih yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu berjaya membawa pasukan muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 11:41 AM