Faizul Azlan Razak


PASUKAN Terengganu FC I (TFCI) melengkapkan lima kuota awang importnya apabila mengikat dua lagi pemain bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dua pemain terbaharu yang berjaya dipancing ialah Thierry Chantha Bin dari Kemboja dan Igor Zonjic dari Serbia Montenegro.

Sebelum ini, skuad Penyu mengekalkan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre dan menyambar bekas pemain import Negeri Sembilan kelahiran England, Lee Andrew Tuck serta bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan.

Ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, Zonjic akan mengisi tempat Lazaro Vinicius (pertahanan) yang tidak dilanjutkan kontrak musim depan manakala Thierry memperkukuhkan jentera tengah.

Pengendali berusia 66 tahun itu berkata, Thierry, 26, yang juga tonggak skuad kebangsaan Kemboja, mengisi kuota pemain import Asia Tenggara.

“Kehadiran dua pemain ini sekali gus melengkapkan kuota awang import untuk pasukan TFC I bagi menghadapi saingan Liga M musim depan.

“Hanya Tuck yang akan mula menjalani latihan pramusim pada 4 Disember ini (Isnin) manakala tiga lagi pemain import dijangka melaporkan diri pertengahan atau hujung bulan depan,” katanya yang ditemui di Pejabat PBSNT, hari ini.

Beberapa kelibat muka baharu yang hadir di pejabat PBSNT ialah tiga bekas pemain T-Team, Mohd Fauzi Abdul Kadar, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, bekas penjaga gol Pahang, Wan Mohd Azraai Wan Teh, Mohd Fitri Omar (Kedah) dan dua bekas pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff dan Shahrul Aizad.

Irfan Bakti turut mengesahkan bekas penolong ketua jurulatih FELDA United, Mohamad Nik kembali dalam barisan kejurulatihan TFC I musim depan.

“Beliau akan membantu saya dalam membentuk pasukan sambil dibantu dua penolong jurulatih musim ini, Mohd Nafuzi Mohd Zain dan Kamaruddin Annuar,” katanya.

s

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:10 PM