HADI Fayyadh (kanan) tidak perlu gentar berdepan pemain yang lebih berusia. -Foto fail
HADI Fayyadh (kanan) tidak perlu gentar berdepan pemain yang lebih berusia. -Foto fail
Devinder Singh


Hadi Fayyadh Razak dan A Shivan Pillay adalah pemain paling muda dalam kem latihan pusat skuad Bawah 23 tahun kebangsaan namun itu tidak bermakna mereka harus gentar apabila beraksi bersama pemain lebih senior.

Berada dalam lingkungan usia 17 tahun, Hadi dan Shivan bakal berdepan lawan yang berusia lima tahun lebih tua berbanding mereka sekiranya berjaya menyelit di dalam senarai akhir pasukan remaja kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan mengharungi Kejohanan B-23 AFC di China, bulan depan.

K Thivandran, Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, masing-masing berusia 18 tahun, juga berada dalam perebutan tempat untuk ke China.

“Berdasarkan usia mereka, jurang adalah besar. Namun, saya percaya Hadi mempunyai kelebihan daripada sudut fizikal dan saya pasti dia mampu menyesuaikan diri dengan pemain lebih berusia,” kata Kim Swee selepas sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.

“Pada sama sama, ia mungkin sesuatu yang bagus buat mereka untuk mengumpul pengalaman sekiranya dipilih, terutamanya apabila mereka kembali berada bersama pasukan Bawah-19 tahun nanti.”

Bagaimanapun, Kim Swee berkata, tidak ada sebarang jaminan bahawa pemain muda itu akan beraksi ketika menentang lawan Kumpulan C, Arab Saudi, Iraq dan Jordan di China.

Shivan (kiri) pemain paling muda dalam kem latihan pusat skuad B-23 negara. -Foto fail
Shivan (kiri) pemain paling muda dalam kem latihan pusat skuad B-23 negara. -Foto fail

“Mereka masih perlu menjalani latihan termasuk perlawanan persahabatan yang dirancang di sini dan di Korea Selatan,” kata Kim Swee.

Pasukan kendaliannya dijadual menentang Petaling Jaya Rangers pada 9 Disember.

“Daripada situ, saya percaya mereka akan meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain. Namun, kita tidak harus memikirkan yang mereka ini akan secara automatik menjadi pemain kesebelasan utama sekiranya mereka dipilih untuk skuad akhir nanti.

“Saya mungkin akan menggunakan mereka selaku pemain simpanan, itupun bergantung kepada strategi. Saya harap mereka dapat menggunakan peluang ini sebaiknya dan sekiranya mereka terlalu bagus untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, pastinya ia satu pendedahan yang baik buat mereka.”

Pada aksi kelayakan Kejohanan Bawah 19 tahun AFC di Korea Selatan bulan lalu, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Hadi meledak tiga gol manakala Akhya, Nik Akif dan Shivan masing-masing menjaringkan satu gol.

Selepas perlawanan persahabatan menentang PJ Rangers dan Melaka, Kim Swee akan menggugurkan empat daripada 30 pemain yang berada dalam skuad latihan untuk ke Korea Selatan sebelum mengurangkan jumlah kepada 23 pemain bagi menghadapi kejohanan di Jiangsu, China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 10:29 PM