Bojan yakin dengan kemampuan Akhyar (tengah) dan Nik Akif. FOTO HM Digital
Bojan yakin dengan kemampuan Akhyar (tengah) dan Nik Akif. FOTO HM Digital
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 19 tahun negara (B-19) Bojan Hodak percaya jadual padat yang diharungi Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat tidak akan menjejaskan prestasi dua tonggak utama itu untuk bersama pasukan di Kejohanan AFC B-19 di Indonesia, Oktober depan.

Penyerang Kedah Akhyar dan Nik Akif yang menjadi nadi bahagian tengah Kelantan kini sibuk membantu pasukan masing-masing mengharungi kempen Piala Malaysia selepas pulang bersama skuad B-23 di Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Dua pemain muda berusia 19 tahun ini kemudian mendapat panggilan jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe bagi sesi latihan pusat kebangsaan dan terpaksa diketepikan daripada skuad B-19 yang berlepas ke Muscat, Oman hari ini bagi latihan dan siri perlawanan persahabatan.

Menurut Hodak, beliau yakin Akhyar dan Nik Akif tidak akan terbeban dengan saingan domestik serta antarabangsa yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada prestasi menjelang Kejohanan AFC nanti.

"Akhyar dan Nik Akif bermain dalam Liga Super dan sudah biasa dengan jadual padat. Tidak perlu risau kerana mereka boleh menguruskan diri dengan baik. Tidak semua perlawanan Akhyar dan Nik Akif akan bermain selama 90 minit, jadi saya fikir ia bukan satu masalah.

"Akhyar dan Nik Akif akan bersama skuad senior jadi ini satu pengalaman baik buat mereka untuk membantu pasukan di Kejohanan AFC nanti," katanya.

Selain Akhyar dan Nik Akif, pengendali dari Croatia itu juga tidak membawa beberapa pemain utama ke Oman termasuk penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak dan pemain tengah Shivan Pillay Asokan.

"Saya sudah ada pemain ke Kejohanan AFC tapi saya perlui menyediakan pilihan pemain yang ramai andai ada pemain yang cedera. Jadi saya bawa pemain lain untuk diuji di Oman nanti,” kata Hodak.

Skuad B-19 negara yang muncul juara Kejohanan AFF di Indonesia, Julai lalu bakal mengharungi saingan Kumpulan D Kejohanan AFC bertemu Arab Saudi, Tajikistan dan China.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 5:18 PM