THIVANDARAN (dari kiri), Ahmad Khairil, Raphi digugurkan daripada skuad Kim Swee kerana  belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama.
THIVANDARAN (dari kiri), Ahmad Khairil, Raphi digugurkan daripada skuad Kim Swee kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama.
Azlan Muhammad Zain


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang bakal memikul cabaran negara di Kejuaraan Bawah 23 (B-23) tahun AFC di China tahun depan.

Ketua Jurulatih skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan tiga daripada 26 pemain yang menjalani latihan di Mokpo, Korea Selatan sejak 17 Disember lalu.

Pemain berkenaan adalah Raphi Azizan Mariappen, 21, (PJ Rangers) dan dua pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Zamri, 22, (Perak) serta K Thivandaran, 18, (Pulau Pinang).

“Ketiga-tiga pemain yang digugurkan ini dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama. Namun mereka menunjukkan kesungguhan selama berada dalam pasukan ini,” kata Kim Swee.

“Mereka bertiga akan pulang ke tanah air pada Sabtu (esok) tetapi masih perlu bersedia untuk ke China jika terdapat mana-mana pemain dalam senarai 23 pemain mengalami kecederaan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 10 Januari.

“Ia satu keputusan yang sukar untuk saya menamakan senarai akhir 23 pemain ini, namun saya percaya semua 23 pemain yang dipilih ini adalah yang terbaik bagi menghadapi kejohanan kali ini,” kata Kim Swee.

Sepanjang dua minggu di Mokpo, skuad B-23 kebangsaan mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan Korea Selatan.

Ia menyaksikan mereka terikat 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember (jaringan Syamer Kutty Abba), menewaskan Honam University 1-0 pada 22 Disember (jaringan Kogileswaran Raj) dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember (jaringan Safawi Rasid).

Barisan 23 pemain ini akan berlepas dari Seoul, ke Nanjing, China esok untuk perlawanan persahabatan terakhir sebelum kejohanan bertemu skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada 5 Januari ini.

Seterusnya untuk kejohanan sebenar, skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari bagi menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Jika skuad B-23 kebangsaan berjaya muncul dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari, diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari.

Berikut adalah senarai akhir nama 23 pemain beserta usia, posisi dan pasukan atau kelab diwakili dalam saingan Liga Malaysia:

1. Haziq Nadzli, 19, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT)

2. Safawi Rasid, 20, penyerang, JDT

3. Dominic Tan, 20, pertahanan, JDT

4. Adam Nor Azlin, 21, pertahanan, JDT*

5. Syamer Kutty Abba, 20, tengah, JDT*

6. Matthew Davies, 22, sayap, Pahang

7. Nor Azam Abdul Azih, 22, tengah, Pahang

8. R Kogileswaran, 19, penyerang, Pahang

10. Hadi Fayyadh Abdul Razak, 17, penyerang, JDT II

11. Ifwat Akmal Chek Kassim, 21, penjaga gol, Kedah

12. Akhyar Rashid, 18, penyerang, Kedah

13. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, 21, penjaga gol, Negeri Sembilan*

14. N Thanabalan, 22, penyerang, Negeri Sembilan*

15. Shivan Pillay Asokan, 17, pertahanan, PKNS FC

16. Jafri Firdaus Chew, 20, penyerang, PKNS FC*

17. Adib Zainudin 22, pertahanan, FELCRA FC

18. Danial Amier Norhisham, 20, tengah, FELDA United

19. Nik Akif Syahiran Nik Mat, 18, tengah, Kelantan

20. Irfan Zakaria, 22, pertahanan, Kuala Lumpur

21. Syazwan Zaipol Bahari, 22, pertahanan, Perak*

22. Tommy Mawat Bada, 21, sayap, PJ Rangers FC*

23. Syahmi Safari, 19, sayap, Selangor

* Nota - pasukan/kelab baharu diwakili musim 2018

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:13 PM