CHONG Wei bangkit dari kekalahan set pertama.
CHONG Wei bangkit dari kekalahan set pertama.
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Pemain nombor tujuh dunia itu bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk mengatasi pemain tuan rumah, Wei Nan 21-23, 21-11, 21-12 dalam aksi pusingan kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Chong Wei, 35, akan membuat perhitungan pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Son Wan Ho bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Terdahulu, Wan Ho mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 11-21, 21-16, 21-12.

Terbuka Hong Kong yang menjadi kejohanan terakhir buat Chong Wei tahun ini dianggap medan terbaik untuk dia menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan bulan selepas hanya berjaya merekodkan satu gelaran tahun ini dengan menjuarai Seluruh England, Mac lalu.

Sementara itu, nasib tidak memihak kepada beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang terkandas di pusingan kedua.

Mereka ditunjukkan jalan keluar selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto 15-21, 7-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 11:21 PM