CHOW Mei Kuan (kanan) dan Lee Meng Yean. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
CHOW Mei Kuan (kanan) dan Lee Meng Yean. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tiada tentangan, jawapan yang diberikan pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean selepas berjaya menumpaskan wakil Taiwan, Lin Xiao Min-Wu Fang Chien di pusingan pertama Terbuka China yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Haixia, Fuzhou semalam.

Meng Yean yang bergandingan bersama Chow Mei Kuan mengakui, mereka melakukan persiapan rapi untuk berdepan Xiao Min-Fang Chien, seterusnya membolehkan mereka mencatat kemenangan 21-6, 17-21, 21-9 mengulangi pencapaian tahun lalu di Cabaran Antarabangsa Malaysia apabila menang di suku akhir.

“Set pertama dan ketiga memang tiada tentangan sengit kerana kami berjaya mematahkan taktikal mereka dan dalam masa sama kami berjaya beraksi dengan baik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, kekalahan di set kedua pula disebabkan lawan berjaya menghidu permainan mereka sehingga menyebabkan berlakunya beberapa kesilapan mudah.

“Kami memang berasa kurang selesa di set kedua dan mereka memperoleh mata daripada permainan kami yang lemah,” katanya yang berasal dari Melaka.

Menjelang aksi hari ini, Meng Yean berharap mereka mampu memberi tentangan dan berjuang habis-habisan kerana berkemungkinan berdepan pilihan kelima dari Korea Selatan, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun.

“Jika bertemu mereka, kami akan bermain bermati-matian dan berharap mampu untuk melakukan kejutan,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Turut mara ialah pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang mengalahkan Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han juga dari Taiwan, 15-21, 21-19, 21-11 dan akan berdepan Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto (Jepun) di pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas di pusingan pertama apabila tumpas kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 15-21, 9-21. Pilihan kelapan itu akan meneruskan aksi di Terbuka Hong Kong minggu depan dan berdasarkan undian, mereka bakal berdepan Zhang Nan-Liu Xuanxuan dari China di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 3:27 AM