PEMAIN Selangor, Fatin Shafikah (kiri) meraikan gol jaringannya. FOTO/OSMAN ADNAN
PEMAIN Selangor, Fatin Shafikah (kiri) meraikan gol jaringannya. FOTO/OSMAN ADNAN
Naqib Nor Said


PENEKANAN taktikal menyerang membuahkan hasil buat Selangor apabila mara ke separuh akhir hoki wanita Piala Razak selepas meratah Johor 5-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B, di Stadium Hoki Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Pengendali Selangor, Ikmal Abdul Jabbar, berkata sejak dari awal beliau merancang taktikal terbabit dan hasilnya pemenang tempat ketiga tahun lalu itu memperoleh dua gol awal dalam tempoh seminit.

“Dua gol awal itu sangat membantu pemain saya beraksi dengan lebih tenang dan ia secara tak langsung memberi keyakinan kepada mereka menampilkan aksi terbaik setakat ini.

“Memang saya menjangkakan kemenangan besar tetapi lima gol itu adalah satu bonus dan saya berpuas hati dengan persembahan setiap pemain,” katanya selepas perlawanan.

PEMAIN Johor, Norafiza Sulaiman (kanan) jatuh diasak pemain Selangor, Nor Atira Mohamad Ismail (tengah)  di Stadium Hoki Pantai. FOTO/OSMAN ADNAN
PEMAIN Johor, Norafiza Sulaiman (kanan) jatuh diasak pemain Selangor, Nor Atira Mohamad Ismail (tengah) di Stadium Hoki Pantai. FOTO/OSMAN ADNAN

Lima gol Selangor pada aksi terakhir Kumpulan B itu dijaringkan Nurul Safiqah Mat Isa pada minit ke-26, Eilya Fateha Eillias (27), Nor Afira Mohamad Ismail (34), Raja Norsharina Raja Shabuddin (42) dan Fatin Shafikah Mahd Sukri (55).

Gol sagu hati Johor pula disumbangkan penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn pada minit ke-52.

Mengikut jejak langkah Selangor ke separuh akhir daripada Kumpulan B adalah naib juara musim lalu ATM yang mengatasi Melaka 1-0 menerusi jaringan Siti Rahmah Othman.

Di separuh akhir Selangor dijadualkan bertemu naib juara Kumpulan A, Kuala Lumpur pada Jumaat ini, manakala satu lagi aksi mempertemukan ATM melawan juara bertahan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:52 PM