Rodly Fadly


PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mengingatkan setiap pasukan agar tidak terlalu ghairah memburu pemain import sehingga menjadi mangsa ‘permainan’ ejen.

Sathia, yang juga jurulatih FELDA United berkata, keadaan ini berlaku apabila pasukan terdesak untuk mendapatkan pemain import sehingga sanggup membayar berapa sahaja yuran perpindahan serta gaji yang ditetapkan oleh ejen.

Malah, Sathia mendedahkan Liga Malaysia kini menjadi ‘lubuk emas’ kepada pemain import kerana gaji yang diterima oleh mereka berkali-kali ganda jauh lebih tinggi berbanding yang dibayar kelab di negara lain seperti Thailand dan Indonesia.

“Saya baru pulang dari Indonesia dengan maklumat yang saya dapat sangat memeranjatkan. Saya diberitahu oleh rakan sejawat di sana gaji yang mereka bayar untuk pemain import jauh lebih rendah berbanding kita.

“Bukan sedikit, malah dua atau tiga kali ganda lebih rendah sedangkan kualiti pemain import mereka sama dengan pemain luar yang beraksi di negara kita.

“Sebelum ini, saya juga ada merisik dengan beberapa orang rakan yang terbabit dengan Liga Thailand dan Bahrain. Saya dapati keadaan yang sama apabila membuat perbandingan mengenai gaji pemain import mereka dengan kita.

“Rupa-rupanya selama ini kita ditipu hidup-hidup oleh ejen yang kononnya gaji diminta lebih kurang sama seperti yang mereka kenakan ke atas kelab di negara jiran kita.

“Patutlah Liga Malaysia sekarang menjadi sasaran ejen untuk menjual pemain kerana mereka dapat ‘makan besar’ di sini melalui komisen yang diterima,” kata Sathia.

Justeru beliau mengingatkan kelab-kelab kita agar mengambil langkah mengawal harga serta gaji pemain import bersesuaian dengan status pemain itu.

“Saya boleh katakan apa yang kita belanjakan sekarang untuk pemain import terlalu tinggi kerana percaya bulat-bulat cakap ejen tanpa usul periksa.

“Kalau mereka (pemain import) betul-betul bagus tidak mengapa kita membayar gaji tinggi. Tapi kalau kualiti mereka setaraf pemain import yang beraksi di Indonesia contohnya, mengapa perlu kita bayar lebih?

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau mengawal keadaan ini.

“Tapi, nasihat saya kepada semua pasukan, berhati-hatilah dengan tipu helah atau jerat yang dipasang oleh ejen kerana mereka sentiasa menunggu masa untuk mengambil kesempatan,” kata Sathia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 1:48 PM