MUAZ (tengah) mengakhiri hari kedua pusingan kelayakan menduduki tempat kelapan selepas 12 permainan.
MUAZ (tengah) mengakhiri hari kedua pusingan kelayakan menduduki tempat kelapan selepas 12 permainan.
Fabian Peter


SELEPAS permulaan mengecewakan pada hari pembukaan Piala Dunia Bowling AMF di Hermasillo, Mexico, Ahmad Muaz Fishol kembali bangkit dengan penuh bergaya apabila mengakhiri hari kedua pusingan kelayakan menduduki tempat kelapan selepas 12 permainan.

Muaz yang menduduki tempat ke-37 selepas enam permainan di hari pertama, terus melonjak naik apabila mencatatkan 210-227-232-255-226-234 bagi keseluruhan 1,384 jatuhan pin pada awal pagi ini dengan menjadikan keseluruhan 2,567 jatuhan pin.

Pemain bowling tempatan, Arturo Estrada kekal di kedudukan teratas daripada keseluruhan 64 pemain dengan jumlah 2,682 jatuhan pin.

Hanya 24 pemain teratas akan meneruskan langkah ke peringkat seterusnya selepas berakhir 24 permainan.

“Masih ada dua pusingan lagi (perlawanan kelayakan) untuk dihabiskan. Saya perlu mengurangkan kesilapan untuk kekalkan kedudukan saya.

“Bagaimanapun buat masa ini, saya agak yakin sekurang-kurangnya melepasi peringkat kelayakan.”

Dalam kategori wanita pula, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman kekal di tempat kelapan selepas melakukan 242-199-202-198-227-196 untuk mengempul keseluruhan 2,534 jatuhan pin.

Pemain Sweden, Jenny Wegner masih mendahului dengan 2,763 jatuhan pin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:10 PM