SITI Safiyah layak ke pusingan kedua Piala Dunia AMF.
SITI Safiyah layak ke pusingan kedua Piala Dunia AMF.
Fabian Peter


DUA atlet bowling kebangsaan, Ahmad Muaz Fishol dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman layak ke pusingan kedua Kejohanan Piala Dunia AMF yang sedang berlangsung di Hermosillo, Mexico.

Menamatkan blok terakhir di permainan keenam, Muaz yang bermula di kedudukan ke-37, menutup saingan di kedudukan teratas dalam senarai 64 pemain apabila melakukan 5,334 jatuhan pin selepas 24 permainan.

Bagi menambah kegembiraan atlet kelahiran Kedah itu, dia turut menerima khabar baik apabila namanya tersenarai ke dalam Program Podium Kebangsaan seperti yang diumumkan hari ini.

Muaz yang tampil buat kali pertama di Piala Dunia, berkata: “Saya gembira apabila melayakkan diri ke pusingan kedua tetapi saya tidak mahu terlalu yakin kerana masih ada lapan permainan yang perlu ditamatkan sebelum kelompok pemain dikecilkan kepada lapan.

AHMAD Muaz melakukan 5,334 jatuhan pin selepas 24 permainan.
AHMAD Muaz melakukan 5,334 jatuhan pin selepas 24 permainan.

“Memang saya gembira menerima berita bahawa nama saya tersenarai dalam Program Podium dan ia dimaklumkan oleh ketua jurulatih (Holloway Cheah). Khabar ini pasti melonjakkan lagi semangat saya.”

Hanya 16 pemain teratas melangkah ke pusingan seterusnya di mana mereka akan bermain lapan permainan. Pemain yang menduduki kelompok lapan teratas akan layak ke pusingan ketiga.

Dalam kategori wanita, Siti Safiyah yang tampil buat kali keempat, menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan kelima.

Siti Safiyah yang pernah menduduki tangga ketiga ketika edisi 2009 di Melaka, mengumpul 5,149 jatuhan pin.

Pemain Sweden, Jenny Wegner mengekalkan kedudukan teratas daripada 54 pemain apabila mencatat 5,453 jatuhan pin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 10:44 PM