SABAH sudah bersedia hadapi musim depan.
SABAH sudah bersedia hadapi musim depan.
Ryan Stanley


WALAUPUN sekadar pelengkap jadual, Sabah tetap turun untuk memburu kemenangan apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Pengendalinya Jelius Ating berkata, keputusan perlawanan malam esok mungkin tidak memberi kesan kepada mereka namun bagi beliau, kemenangan amat penting demi maruah pasukan.

“Lebih-lebih lagi kami akan beraksi di gelanggang sendiri dan kami juga berisiko untuk jatuh satu anak tangga jika tidak bernasib baik.

“Di samping itu, perlawanan malam esok peluang bagi pemain membuktikan kesungguhan mereka kerana kami sudah mulakan persiapan untuk musim depan... pemain perlu sedar mengenainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, beliau akan cuba menurunkan kesebelasan terbaiknya esok walaupun mempunyai pilihan pemain yang agak terhad.

“Beberapa pemain kami mengalami kecederaan termasuklah yang terbaru, Dendy Lowa dan kami terpaksa ketepikan dia untuk perlawanan esok.

“Bagaimanapun, kami mendapat semula khidmat pemain tengah, Maxsius Musa yang sebelum ini mengalami kecederaan dan besar kemungkinan Azzizan Nordin juga akan diturunkan walaupun baru pulih,” katanya.

Sabah kini berada di tangga ketujuh liga dengan 27 mata hasil lapan kemenangan, tiga seri dan 10 kali kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 5:23 PM