BRAVO diterbangkan ke Barcelona untuk menjalani rawatan selepas koyak tendon Achilles. Foto BBC
BRAVO diterbangkan ke Barcelona untuk menjalani rawatan selepas koyak tendon Achilles. Foto BBC
AFP

MANCHESTER City mungkin terpaksa beraksi sepanjang musim ini tanpa penjaga gol simpanan, Claudio Bravo selepas tonggak Chile itu koyak tendon Achilles, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkannya hari ini.

“Bravo mengalami kecederaan tendon Achilles semasa latihan hari ini,” kata City dalam satu kenyataan. “Dia akan terbang ke Barcelona untuk menjalani ujian selanjutnya Khamis ini.”

Bravo pernah memenangi dua gelaran La Liga sebelum berpindah ke City pada 2016 tetapi beberapa kesilapan mudah dalam kemunculan musim pertamanya memaksa City mengikat penjaga Brazil, Ederson dari Benfica tahun lalu.

“Tidak kira walau apapun yang berlaku, atau seburuk mana kecederaan itu, kehidupan perlu diteruskan, dan keesokan hari pastinya lebih baik,” tulis Bravo di laman Twitter.

Bagaimanapun, Bravo beraksi dalam kesemua enam perlawanan ketika City menjulang Piala Liga musim lalu, namun dia tidak diturunkan dalam sebarang aksi EPL.

Selepas Bravo, Daniel Grimshaw, 20, muncul satu-satunya penjaga gol yang tinggal dalam skuad utama dengan Joe Hart sudah dipinjamkan ke Burnley.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:38 AM