TOURE (baju biru) harap pemain West Brom tampil lebih berani dengan corak pemainan menyerang dan bukan bertahan. -Foto AFP
TOURE (baju biru) harap pemain West Brom tampil lebih berani dengan corak pemainan menyerang dan bukan bertahan. -Foto AFP

MANCHESTER: Perancang tengah Manchester City, Yaya Toure berharap West Brom tidak akan ‘memasang tembok’ di depan gawang apabila pasukannya berkunjung ke The Hawthorns, esok.

Peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) itu diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menumbangkan Wolves pada aksi pusingan keempat Piala Liga, Selasa lalu selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit aksi di Stadium Etihad.

Dan Toure mendesak The Baggies tampil lebih berani dengan corak permainan menyerang di laman sendiri.

“Saya berharap satu perlawanan yang lebih mudah kerana apabila anda memberikan terlalu banyak peluang untuk lawan kekal bersaing, ia akan menjadi sukar,” kata Toure.

“Ia amat sukar apabila menentang pasukan yang bertahan. Penyerang turut beraksi di sisi pemain tengah bertahan, ia sukar untuk dipercayai.”

City terhutang budi kepada penjaga gol, Claudio Bravo ketika pertemuan berdepan Wolves selepas dia menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus memastikan kemenangan 4-1 dan kemaraan ke suku akhir.

Bintang Chile itu kehilangan tempat kepada Ederson, yang menyertai City dari Benfica, Jun lalu, tetapi Toure berkata persembahan Bravo ketika bertemu Wolves membuktikan dia sudah bersedia memburu posisi utama semula.

“Kelab ini mahu memenangi sebanyak mungkin trofi. Ia amat sukar tetapi kami memerlukan setiap pemain dan saya fikir Claudio membuktikan dia perlu diberi peluang beraksi dan kekal di kelab ini.”

Dengan Ilkay Gundogan gagal menghabiskan aksi Selasa lalu, sudah tentu Pep Guardiola tidak berani mengambil risiko menurunkannya sekali gus menambah senarai kecederaan City selepas Vincent Kompany dan Benjamin Mendy. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:01 PM