AUGUSTO (tengah) yakin jaringan awal mampu rentap semangat Kedah. -Foto MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
AUGUSTO (tengah) yakin jaringan awal mampu rentap semangat Kedah. -Foto MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
Aziman Rosdi

PENYERANG FELDA United, Thiago Augusto bersedia menggempur kubu Kedah habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pemain import Brazil berusia 27 tahun itu percaya jaringan awal mampu merentap semangat pasukan tuan rumah yang hanya perlu mengekalkan kedudukan agregat 1-1 hasil perlawanan pertama untuk layak ke final.

“Kami sudah membuat persiapan rapi bagi bertemu Kedah. Kami akan bermain seperti biasa, seperti perlawanan pertama, kami tahu ia perlawanan sukar tapi saya percaya kami ada peluang kerana kami ada kualiti,” katanya hari ini.

Stadium Darul Aman bukan asing buat Augusto yang beraksi dengan skuad Helang Merah musim lalu termasuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia menerusi sumbangan lima gol.

Bersama FELDA United tahun ini, Augusto sudah menghasilkan empat gol dalam kempen Piala Malaysia namun pergerakannya dirantai pada pertemuan pertama dengan Kedah di Jengka, Ahad lalu.

Bagaimanapun, dia berjaya menemui sasaran ketika FELDA United menewaskan Kedah 3-1 bulan lalu dalam saingan Liga Super.

“Perlawanan ini berbeza dengan perlawanan liga, tekanan dan semangat berbeza tapi kami ada peluang dan kami akan berjuang habis-habisan.

“Saya berterima kasih kepada Kedah kerana bagi saya peluang tahun lalu, sekarang saya bersama FELDA dan sudah pasti saya mahu bawa pasukan ini ke final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:28 PM