ZAH Rahan  (kanan) percaya FELDA mampu beri kejutan kepada Kedah. -Foto fail
ZAH Rahan (kanan) percaya FELDA mampu beri kejutan kepada Kedah. -Foto fail
Aziman Rosdi

SAINGAN baki 90 minit permainan separuh akhir kedua Piala Malaysia belum bermula, tetapi pemain tengah FELDA United, Zah Rahan Krangar sudah awal-awal lagi memohon maaf kepada pasukan lawan, Kedah.

Ini kerana pemain import berusia 28 tahun dari Liberia itu cukup yakin bahawa dia dan rakan sepasukan boleh mengecewakan juara bertahan itu di Stadium Darul Aman, Sabtu ini untuk melangkah ke final.

"Kedah pasukan yang handal, mereka mempamerkan permainan yang baik tapi saya terpaksa meminta maaf kepada Kedah kerana perlawanan kedua sudah berakhir, FELDA akan menang perlawanan itu nanti," kata Zah Rahan.

FELDA yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan tidak memiliki sebarang kelebihan apabila bertandang ke Alor Setar selepas aksi separuh akhir pertama di Jengka minggu lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun ia bukan mustahil apabila skuad The Fighters pernah mengalahkan Kedah 3-1 di gelanggang lawan dalam aksi Liga Super pada 20 September lalu malah mereka kini dalam prestasi terbaik, tidak kalah dalam empat perlawanan terakhir termasuk menang 3-2 ke atas juara liga Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 28 September.

Menurut Zah Rahan yang sudah empat musim bersama FELDA, semangat semua pemain cukup tinggi untuk mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama.

"Saya fikir kami ada peluang lebih baik kerana ia sasaran kami untuk melangkah ke final dan memenangi Piala Malaysia, jadi kami hanya perlu pergi ke sana lakukan yang terbaik serta bermain seperti seorang pejuang.

"Saya pernah sekali beraksi pada final Piala FA menentang Pahang (kalah 1-2), kami mahu mencapai sesuatu kejayaan untuk FELDA tahun ini, itu sasaran kami," kata perancang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:07 PM