FABREGAS penggerak utama Chelsea.
FABREGAS penggerak utama Chelsea.

Yang menarik dalam sukan bola sepak, ia membabitkan inovasi sistem permainan. Bukan rombakan besar-besaran, bergilir-gilir turunkan pemain atau mencuba corak permainan berlainan.

Kalau kita lihat Manchester United, pasukan ini cuba serasi dengan corak permainan tiga pertahanan tengah bergandingan dengan dua bek sayap.

Pasukan Red Devils mempunyai rekod gol bolos ketiga terbaik dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini. Chelsea pula bolos kurang dua gol saja dengan menurunkan empat pertahanan mengikut cara konvensional.

Justeru, masalah besar bagi Louis van Gaal bukan pertahanan, tetapi corak permainan di separuh padang lawan. Masalah ini hanya kerana seorang pemain yang dianggap media British sebagai ‘superstar’, tetapi menghadirkan beban sebenarnya.

Kapten pasukan England Wayne Rooney jelas tiada identiti di dalam padang. Penyerang utama? Penyerang kedua? Perancang? Pemain sayap?

Itu saja yang perlu diubah Van Gaal.

Perubahan baik dilakukan Jose Mourinho pula membabitkan Cesc Fabregas. Pernah beraksi sebagai ‘false number nine’, ‘holding midfielder’ serta ‘playmaker’, dia kini menjadi penggerak utama serta nadi pasukan Chelsea.

Pada pendapat saya, Fabregas perancang tengah terbaik di dunia buat masa ini.

Bekas pasukan Fabregas, Barcelona pula bernafas kembali selepas semusim di bawah kendalian Gerardo Martino. Bukan dikatakan Barcelona sudah mempunyai jurulatih mahir, tetapi Luis Enrique boleh dianggap pengendali bijak.

Semasa di Barcelona, Martino agak takut untuk membuat keputusan mengenepikan pemain bintang. Enrique pula memahami keperluan Barcelona dan melakukan perbezaan kerana corak permainan pasukan itu agak perlahan.

Lantas, dibelinya pemain Croatia Ivan Rakitic dari Sevilla. Pemain tengah ini sudah bertahun-tahun beraksi di Sepanyol dan sehubungan itu transisi permainannya tidak mengambil masa.

Tetapi, kehadiran Rakitic memberi senjata untuk mempercepatkan rentak dengan corak permainan ‘middle distance passing’. Kemahiran Rakitic membuat hantaran lintang tepat berjarak sederhana kini memberi nafas baru kepada Barcelona.

Adanya Rakitic dalam padang bermakna pemain bintang ternama serta terbaik, Xavi terpaksa memanaskan bangku simpanan. Khidmat Xavi tetap diperlukan, tetapi bukan sebagai nadi Barcelona.

Dan kepada mereka yang menganggap corak permainan ‘tiki-taka’ sudah menjumpai ajalnya, silalah saksikan pasukan Bayern Munich. Corak permainan ‘tiki-taka’ bukan corak permainan Sepanyol atau dicipta Barcelona.

Ini konsep permainan rekaan Pep Guardiola yang dimahirkan di Barcelona dan kini menakjubkan di Munich. Begitu menarik apabila pemain Bayern yang besar tubuh badan serta tegap, mempamerkan ‘tiki-taka’ dengan kepantasan dan kelicikan.

Dua jurulatih di Liga Perdana Inggeris yang menarik minat, Ronald Koeman di Southampton dan Brendan Rodgers, Liverpool.

Southampton menampilkan pasukan yang mencorakkan kepadatan bertahan mahupun menyerang. Corak permainan padat ini tidak memberi ruang kepada pihak lawan untuk merancang serangan serta gerakan.

Rodgers di Liverpool pula kelihatan mantap, tetapi dikekang kehadiran Steven Gerrard yang kerap membuat hantaran lintang jauh kerana itulah corak permainannya.

Dan di situlah dilema Rodgers bermula. Beliau berada di persimpangan sama ada ingin mempamerkan corak permainan mengikut cara Liverpool (the Liverpool way) atau beraksi dengan gaya Gerrard (the Steven Gerrard way)?

Di London pula, bekas pemain Arsenal serta Barcelona, Alex Song kini beraksi untuk West Ham.

Di bawah kendalian Sam Allardyce yang dikenali dengan corak permainan ala British yang mementingkan tenaga dan agresif, kehadiran Song di bahagian tengah membawa kualiti berlainan.

Berbekal teknik baik, Song juga membawa ketenteraman di bahagian tengah, sekali gus dapat menambah jumlah hantaran serta penguasaan bola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:16 AM