Pemain Felda United, Thiago Augusto Fernandes (tengah) diasak pemain Kedah, Khairul Helmi Johari (kanan) dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Pemain Felda United, Thiago Augusto Fernandes (tengah) diasak pemain Kedah, Khairul Helmi Johari (kanan) dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Devinder Singh


HADIN Azman meledak gol di minit akhir untuk FELDA United mengikat juara bertahan Kedah 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Pemain gantian itu menanduk masuk bola sepakan sudut minit ke-87 untuk memadamkan kelebihan Kedah yang mendahului permainan hasil sepakan penalti Sandro Mendonca di awal babak kedua.

Kedua-dua jurulatih membuat dua pertukaran daripada perlawanan akhir masing-masing dengan pengendali FELDA, B Sathianathan menyenaraikan Daniel Amier Norhisham di bahagian tengah menggantikan Stuar Wark yang cedera di bahagian lutut, dan Dino Djulbic yang kembali daripada penggantungan.

Pengendali Kedah Nidzam Adzha Yusof menurunkan kembali bek kanan Rizal Ghazali dan pemain tengah Amirul Hisyam Awang Kechik bagi memperkuat skuad yang tewas 4-2 di tangan Sarawak dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Pasukan pelawat mempunyai peluang di awal permainan namun percubaan minit kelapan Ken Ilso dinafikan penjaga gol FELDA, Farizal Harun dan tandukan minit ke-25 Baddrol Bakhtiar tersasar.

Peluang terbaik FELDA hadir menerusi Ifedayo Omosuyi tetapi tendangan pemain Nigeria itu menuju tepat ke arah penjaga gol Kedah Ifwat Akmal Chek Kassim.

Penyerang Brazil Mendonca hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-57 apabila sepakannya memaksa Farizal menyelamatkan keadaan dengan satu tangan.

Namun pada minit ke-62, Syazwan Zainon mendapatkan sepakan penalti untuk Kedah apabila dia dikasari Safwan Hashim di dalam kotak penalti, dan Mendonca menyempurnakannya dengan tenang.

Ketika Kedah hampir membawa bekalan selesa ke Alor Setar, Hadin melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil oleh Wan Zack Haikal Wan Nor ketika permainan berbaki tiga minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 11:45 PM