Hadin Azman. FOTO Izzali Ismail
Hadin Azman. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


PEMAIN sayap Kedah, Hadin Azman mahu terus bekerja keras dalam latihan bagi memastikan prestasi dirinya bersama skuad Lang Merah menyerlah pada musim depan.

Bekas pemain Felda United berkenaan dilihat bakal menjadi senjata sulit baharu buat Kedah.

Hadin sebelum ini membuktikan sentuhannya apabila menjaringkan 40 gol melalui penampilan bersama skuad The Fighters sejak 2015.

"Saya berazam menjadikan musim 2020 bersama Kedah ini satu tahun yang cemerlang dan mampu menonjolkan bakat serta prestasi ke tahap yang lebih baik.

"Saya gembira dan bangga dapat mewakili Kedah kerana pasukan ini adalah salah satu pasukan yang besar di Malaysia. Insya Allah, saya akan cuba buat yang terbaik” katanya.

Hadin berkata latihan pra musim yang baharu bermula memberi peluang untuknya melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) akan datang.

"Impian saya pada musim depan adalah mahukan kejayaan mendakap piala kerana itu adalah pencapaian yang saya idamkan selama ini dan sebagai pemain dalam pasukan, saya mahu pastikan kejayaan itu dapat diraih skuad Kedah.” katanya.

Selain persaingan Liga M skuad Kedah juga bakal berdepan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 11:59 AM