PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva Mendonca (kanan) meraikan gol pertama ketika menentang pasukan FELDA United di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva Mendonca (kanan) meraikan gol pertama ketika menentang pasukan FELDA United di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
Aziman Rosdi di Alor Setar


“WALAUPUN ketiadaan tiada tiga tonggak, kami masih mampu beraksi dengan baik.

“Semua pemain ikut arahan. Mereka bersabar untuk menjaringkan gol. Itu kunci kejayaan kami,” kata jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Selain itu, Nidzam memuji Sandro da Silva Mendonca yang muncul wira Kedah dengan ledakan dua gol untuk menewaskan FELDA United 2-0, pada aksi di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dua jaringan itu turut sekali gus memastikan pasukan juara bertahan itu mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Dua gol pada babak kedua itu sudah cukup buat Helang Merah selesa menang dengan agregat 3-1, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada pertemuan pertama di Jengka minggu lalu.

Aksi menarik yang diharapkan 25,000 penyokong yang membanjiri stadium nyata meleset apabila kedua-dua pasukan begitu berhati-hati dalam permainan hambar babak pertama.

Ketiadaan arkitek pasukan, Liridon Krasniqi dan penyerang Ken Ilso agak memberi kesan kepada serangan Kedah.

Ini dapat dilihat apabila tiada percubaan tepat dihasilkan anak buah Nidzam itu kecuali rembatan Mendonca yang melepasi palang pada minit ke-22.

Pasukan pelawat pula hanya mencemaskan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim menerusi tandukan penyerang Thiago Augusto di hujung babak pertama.

Bagaimanapun, aksi lebih menarik disajikan pada separuh masa kedua dengan FELDA mula mengancam kubu Kedah.

Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor kecewa apabila rembatannya dalam kotak penalti diselamatkan Ifwat pada minit ke-51 manakala sepakan Augusto pula sekadar terkena tiang gol sembilan minit kemudian.

Bagaimanapun, Stadium Darul Aman bergema dengan sorakan penyokong Helang Merah apabila Mendonca melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti untuk gol pertama di minit ke-71.

Mendonca sekali lagi mempamerkan ketenangannya dengan melambungkan bola untuk menewaskan penjaga gol Farizal Harun sekali gus menamatkan sisa perjuangan skuad kendalian B Sathianathan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 11:58 PM