Naqib Nor Said dan Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Bintang golf veteran negara, Danny Chia (gambar) gagal dalam misi untuk merampas semula status pemain terbaik tempatan di CIMB Classic apabila sekadar berpuas hati di tangga ke-63 di belakang Gavin Kyle Green.

Aksi terakhir hari ini menyaksikan pemain berusia 44 tahun itu melakukan catatan par 72 pada hari terakhir untuk keseluruhan satu atas par 289.

Danny seharusnya berpeluang menamatkan kejohanan di kedudukan lebih baik, tetapi kesilapan bogey di lubang terakhir menyaksikannya dipisahkan satu pukulan dengan Gavin (288) yang berkongsi tangga ke-61 bersama Jim Herman dari Amerika Syarikat.

"Sebenarnya pukulan saya semakin baik pada tiga hari terakhir," kata Danny. "Berbanding hari pertama pukulan saya tidak begitu menjadi kerana gugup.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pukulan saya dan jika tidak kerana kurang melakukan birdie mungkin saya akan berada di kedudukan lebih baik."

Pada hari terakhir sebentar tadi, Danny mencatat pusingan par untuk menyamai catatan semalam, berbanding Gavin yang melalui hari buruk dengan pusingan tiga di atas par 75.

Danny dan Gavin yang juga pendahulu Kedudukan Merit Jelajah Asia masing-masing membawa pulang AS$14,770 (RM62,122) dan AS$15,190 (RM63,888).

Walaupun keputusan itu lebih baik berbanding tahun lalu di mana Danny menduduki tangga ke-68, ia masih jauh dengan pencapaian terbaiknya di tangga ke-13 dalam penyertaan sulung pada edisi 2011.

“Selepas ini saya akan ke Jepun bagi menyertai Kejohanan Q School (kelayakan Jelajah Jepun) pada Khamis ini dan saya fikir tiada perubahan perlu dilakukan kerana saya bermain baik pada sebahagian besar separuh kedua kempen ini,” katanya.

Seorang lagi pemain negara, Nicholas Fung terus dihimpit prestasi buruk pada dua hari terakhir pertandingan apabila mencatat pusingan tujuh atas par 79 untuk keseluruhan 11 atas par 299, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan tiga tercorot daripada 78 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:33 PM