KURSUS yang disertai Fazilla (kiri) tamat Jumaat ini.
KURSUS yang disertai Fazilla (kiri) tamat Jumaat ini.
Naqib Nor Said


SKUAD hoki wanita negara yang takut kehilangan khidmat Fazilla Sylvester Silin menerima khabar gembira apabila penyerang itu mungkin boleh kembali menyertai latihan pasukan minggu depan.

Perkara itu disahkan pengendali Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah berikutan kursus pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang diikuti Fazilla difahamkan akan berakhir Jumaat ini.

Andai benar, ia bermakna tonggak berusia 30 tahun itu boleh kembali menyertai latihan selama seminggu bermula Isnin depan sebelum skuad negara berlepas ke Kakagamihara, Jepun pada 23 Oktober ini untuk bertanding pada Piala Asia.

“Mungkin minggu depan dia (Fazilla) boleh menyertai latihan tapi saya masih menunggu pengesahan lanjut, berita ini pun saya dapat daripada wakil Majlis Sukan Negara (MSN).

“Bagi saya kehadirannya amat penting kerana dia memberi banyak pilihan kepada saya dari segi pukulan sudut penalti, selain Nuraini Rashid, hanya dia seorang lagi pemain boleh melakukan flick.

“Dia juga boleh beraksi di beberapa posisi seperti penyerang, tengah mahupun pertahanan sisi dan daripada latihan terakhir yang diikutinya dua minggu lalu dia tampak berada dalam keadaan terbaik,” kata Dhaarma.

Ketiadaan Fazilla sebagai peledak gol buat skuad negara jelas kelihatan, terutama ketika saingan Sukan SEA 2017, Ogos lalu apabila jentera serangan tampak ketandusan kreativiti untuk menyelinap masuk ke dalam kawasan D lawan.

Dengan misi Malaysia di Piala Asia untuk muncul juara dalam mengejar slot terakhir ke Piala Dunia 2018 di London, pengalaman luas anak jati Sarawak itu pasti ditagih rakan sepasukannya.

Malah, Dhaarma tentu tidak rela kehilangan khidmatnya ketika beliau terpaksa melupakan khidmat seorang lagi pemain tengah berpengalaman Noor Hasliza Md Ali yang sedang hamil.

Sejak lapan edisi penganjuran Piala Asia, pencapaian terbaik skuad wanita negara adalah meraih tempat ketiga pada edisi sulung 1985 di Korea Selatan dengan majoritinya menamatkan saingan di tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 10:32 PM