VINGADA (kanan) galas dua tugas selaku pengurus dan jurulatih Harimau Malaya. FOTO/OSMAN ADNAN
VINGADA (kanan) galas dua tugas selaku pengurus dan jurulatih Harimau Malaya. FOTO/OSMAN ADNAN
Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad kebangsaan, Nelo Vingada dilantik sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya yang baru bagi menggalas tugas yang sebelum ini dipikul Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media hari ini sambil menjelaskan tugas kedua jurulatih kelahiran Portugal itu akan bermula dengan aksi kelayakan Kumpulan B, Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong, malam ini.

Hamidin berkata, pelantikan itu juga dilakukan atas persetujuan daripada Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Pelantikan ini dibuat kerana Tunku Ismail mahukan seorang pengurus pasukan sepenuh masa yang boleh sentiasa fokus dengan tugasannya bersama pasukan.

“Ia juga bagi memudahkan perjalanan pentadbiran pasukan dari aspek pengurusan dan kejurulatihan.

“Terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Subahan Kamal yang sebelum ini menggalas tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan dalam dua perlawanan kelayakan (Piala Asia) terdahulu,” kata Hamidin.

Subahan menggalas tugas selaku pengurus pasukan Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan di Larkin pada 13 Jun lalu dan bertemu Hong Kong di Melaka, 5 September lalu.

Skuad Harimau Malaya yang kini menghuni tangga tercorot kumpulan selepas hanya meraih satu mata daripada dua aksi sebelum ini perlu menang ke atas Hong Kong bagi mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, Vingada yang pernah membimbing skuad kebangsaan Jordan juga masih belum meraih sebarang kemenangan sejak dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:00 PM