SAFIQ (kiri) masih lagi kapten Harimau Malaya menurut Vingada. -Foto ASYRAF HAMZAH
SAFIQ (kiri) masih lagi kapten Harimau Malaya menurut Vingada. -Foto ASYRAF HAMZAH
VINGADA (enam dari kanan) bersama skuad Harimau Malaya ketika berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang KLIA. -Foto AIZUDDIN SAAD
VINGADA (enam dari kanan) bersama skuad Harimau Malaya ketika berlepas ke Thailand di Lapangan Terbang KLIA. -Foto AIZUDDIN SAAD
Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad kebangsaan, Nelo Vingada menegaskan Safiq Rahim masih kapten Harimau Malaya walaupun pemain tengah itu berdepan penggantungan satu perlawanan dan mencetuskan kontroversi sejurus final Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Menurut bekas jurulatih Portugal yang terkenal dengan jolokan ‘The Professor’ itu, Safiq yang dilayangkan kad merah pada aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, 10 Oktober lalu tetap akan disenaraikan menghadapi Korea Utara di Buriram, Thailand.

Malah, Vingada yakin kontroversi yang melanda kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu selepas didakwa mencarut sejurus menentang Kedah pada aksi final Piala Malaysia, tidak akan mengganggu fokusnya membantu pasukan kebangsaan.

“Sudah pasti (Safiq masih kapten Harimau Malaya). Bagaimanapun, dia tidak boleh beraksi untuk perlawanan pertama menentang Korea Utara (Jumaat ini), tapi boleh membantu pasukan untuk aksi kedua pada Isnin.

“Dia pernah bercakap secara peribadi dengan saya mengenai kad merah yang diterimanya. Tapi saya tidak boleh salahkan dia kerana mana-mana pemain pun boleh mendapat kad dalam perlawanan. Malah, Zinedine Zidane pun pernah menerima kad merah pada saingan Piala Dunia (2006).

“Kadangkala kita sebagai pemain akan hilang kawalan, tapi saya percaya dia (Safiq) akan kembali dengan prestasi terbaik selepas ini,” kata Vingada yang berlepas ke Buriram, Thailand bersama pasukan pagi tadi.

Namun, Vingada masih belum menamakan pemain yang akan menggalas tugas kapten Harimau Malaya pada aksi pertama menentang Korea Utara, Jumaat ini.

Apapun, dua aksi berdepan Korea Utara itu adalah penentu sama ada Harimau Malaya akan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 atau tersingkir di peringkat kelayakan selepas berada di kedudukan tercorot kumpulan ketika ini.

Malah, tekanan pasti dirasai Vingada apabila dia masih belum meraih sebarang kemenangan sejak membimbing Harimau Malaya, Mei lalu.

Namun, dia tetap optimis pasukannya mampu mencatat keputusan yang positif pada dua aksi berdepan Korea Utara.

“Saya percaya kepada semua pemain, mereka ada semangat dan kualiti. Apa yang saya harapkan mereka dapat memberikan aksi terbaik di Buriram nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:04 PM