AFP

Los Angeles: Pemain Korea Selatan An Byeong-Hun (gambar) membenam birdie dari jarak 35 kaki di lubang terakhir untuk berkongsi kedudukan selaku pendahulu Terbuka Phoenix Jelajah ASPGA bersama pemain Amerika Syarikat Brendan Steele.

Byeong-Hun mencatat 66 pukulan buat kali kedua berturut-turut sekali gus mengumpul 10-di bawah 132 manakala Steele membenam tiga birdie di empat lubang terakhir untuk catatan empat di bawah 67.

Mereka memiliki kelebihan satu pukulan di depan kelompok pemain yang diketuai pendahulu semalaman Matt Kuchar (69) dan juara bertahan Hideki Matsuyama dari Jepun yang mencatat 68 pukulan. Kuchar dan Matsuyama disertai pemain Scotland Martin Laird (66) dan seorang lagi pemain Korea Selatan Kang Sung (65).

Matsuyama berpeluang menyertai kelompok pendahulu tetapi gagal menyempurnakan par dari jarak tujuh kaki di lubang 18.

Pemain Afrika Selatan Louis Oosthuizen yang sekadar mencatat bogey berganda di lubang 18, berada dalam kumpulan pemain yang mengumpul tujuh di bawah 135 termasuklah Michael Kim, JJ Spaun dan Rickie Fowler.

Byeong-Hun tidak berdepan masalah di lubang terakhir walaupun hanya lima pukulannya mendarat di fairway sepanjang 14 lubang tetapi 15 daripada 18 pukulan keduanya berada di green.

“Saya jarang melakukannya,” kata Byeong-Hun mengenai birdie di lubang 18.

Dia hanya mengumpul satu bogey sepanjang 36 lubang di Terbuka Phoenix walaupun kejohanan itu terkenal dengan kumpulan penonton yang agak agresif serta suasana yang tidak menentu.

Sementara itu, Kuchar berkata, pukulan drive yang dilakukannya tidak begitu baik berbanding hari pertama.

“Sukar untuk saya mengekalkan prestasi seperti hari pertama yang menyaksikan saya mencatat tujuh di bawah par,” katanya. “Saya agak cemerlang semalam. Mungkin hari ini nasib tidak menyebelahi.”

Kuchar berkata, dia terasa sedikit kelainan semalam berbanding bermain di sebelah petang Khamis lalu.

“Bola pukulan saya lebih jauh di sebelah petang. Agaknya lapangan ini diubah suai dalam masa semalam.”

Juara lima kejohanan utama Phil Mickelson, mencatat 70 pukulan untuk mengumpul empat di bawah par. Dia menjejaskan peluang untuk menjulang Terbuka Phoenix selepas sekadar bogey di lubang lapan dan sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:12 AM