PENGARAH Urusan Fleet, Teo Tong Wah (tengah) menyampaikan tajaan kepada Yogendran (kanan) dan Prajakta Sawant  (dua dari kiri), semalam.
PENGARAH Urusan Fleet, Teo Tong Wah (tengah) menyampaikan tajaan kepada Yogendran (kanan) dan Prajakta Sawant (dua dari kiri), semalam.
SUBRAMANIAM (dua dari kanan) harap syarikat luar mampu taja kelab badminton.
SUBRAMANIAM (dua dari kanan) harap syarikat luar mampu taja kelab badminton.

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa syarikat luar untuk tampil memberi bantuan berbentuk penajaan kepada kelab badminton dan negeri bagi membolehkan ramai pemain berbakat dapat dilahirkan pada masa akan datang.

Menurut Bendahari BAM, Datuk V Subramaniam, tanpa syarikat yang sudi tampil membuat penajaan, ia akan menyekat proses untuk melahirkan dan membentuk pemain badminton bertaraf dunia.

“Ia bukan saja dalam badminton tapi dalam apa juga jenis sukan sekali pun memerlukan penajaan dari syarikat luar. Bagi sukan badminton kami memang mengalukan kerjasama seperti ini bukan saja untuk kami (BAM) tapi kelab-kelab yang terdapat di Malaysia,” katanya selepas Majlis Penajaan antara Fleet International Holdings Sdn Bhd dan Akademi Badminton New Vision (NVBA) semalam.

Pandangan yang diberikan Subramaniam dipersetujui bekas pemain yang pernah bernaung di bawah BAM, K Yogendran kerana syarikat luar sangat diperlukan untuk membantu sukan badminton negara terutama membabitkan kelab-kelab yang terdapat di Malaysia.

“Saya sebenarnya bekerja keras untuk mendapatkan ini (penajaan) dan saya gembira Fleet International membantu kami. Penajaan sebenarnya membantu pemain remaja terutama yang bergerak secara profesional.

“Badminton adalah sukan yang mahal, saya dan Prajakta Sawant saja memerlukan RM25,000 untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow,” kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Dalam pada itu, Subramaniam mengucapkan selamat berjuang buat Yogendran yang akan bergandingan bersama Prajakta di Kejohanan Dunia dalam acara beregu campuran dan menganggap ia adalah satu kebanggaan buat Malaysia.

“Walaupun Yogendran tidak bersama BAM dan bergerak secara profesional manakala Prajakta pula dari India, saya tetap menganggap mereka mewakili Malaysia. Saya mewakili BAM dan Presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) mengucapkan selamat maju jaya buat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 6:04 PM