SCHAUFFELE pernah memenangi kejohanan Klasik Greenbrier, dan Kejuaraan Jelajah. FOTO/AFP
SCHAUFFELE pernah memenangi kejohanan Klasik Greenbrier, dan Kejuaraan Jelajah. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Xander Schauffele dinamakan sebagai Pemain Rookie Terbaik Tahunan Jelajah PGA Amerika Syarikat semalam selepas menang dua kejuaraan dan berakhir dalam kelompok 10 teratas pada Terbuka AS.

Pemain berusia 23 tahun dari La Jolla, California itu menikmati permulaan menakjubkan dalam kariernya di jelajah, memenangi kejohanan Klasik Greenbrier Julai lalu sebelum menokok trofi kedua pada Kejuaraan Jelajah, bulan lalu.

Kemenangan pemain nombor 32 dunia itu bulan lalu menjadikannya pemain rookie pertama memenangi kejohanan penamat musim di East Lake, Atlanta.

“Diiktiraf oleh rakan seperjuangan satu daripada penghormatan tertinggi boleh dicapai seseorang pemain dan kemenangan Xander pada Kejuaraan Jelajah ketika playoff Piala FedEx melengkapkan musim menakjubkan seorang pemain rookie,” kata pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan dalam satu kenyataann.

Selain kemenangannya pada Klasik Greenbrier dan Kejuaraan Jelajah, Schauffele melakar catatan mengagumkan pada Terbuka AS apabila dia berkongsi tangga kelima.

Dia gagal melepasi ‘cut’ pada Terbuka British namun berakhir di tangga ke-20 pada Kejuaraan PGA.

Dia tidak bermain pada Masters AS, April lalu. Secara keseluruhan dia melakukan empat penamat 10 teratas dan melepasi ‘cut’ dalam 20 daripada 28 kejohanan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 11:18 AM