HOMA bangga memperaga trofi dimenanginya. — FOTO Reuters
HOMA bangga memperaga trofi dimenanginya. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN Amerika Syarikat, Max Homa memenangi kejuaraan PGA AS buat julung kali awal pagi tadi, mengatasi cabaran pemenang kejohanan utama Justin Rose dan Jason Dufner untuk mengungguli Kejuaraan Wells Fargo dengan tiga pukulan.

Homa mencatat empat bawah par 67 di Quail Hollow untuk mengakhiri 72 lubang dengan 15 bawah par 269 di Charlotte, North Carolina.

Pencapaian terbaik pemain nombor 417 dunia itu dalam Jelajah PGA AS sebelum ini adalah berkongsi tangga keenam pada Terbuka Sony 2015 di Hawaii.

Homa dua kali hilang kad kelayakan beraksi dalam Jelajah PGA AS, melepasi hanya satu ‘cut’ dalam 17 kejohanan pada musim 2016-17 sebelum meraih semula kadnya musim ini.

HOMA melakukan pukulan tee pada lubang kelapan di Quail Hollow. — FOTO AFP
HOMA melakukan pukulan tee pada lubang kelapan di Quail Hollow. — FOTO AFP

“Terlalu mengujakan,” kata Homa mengenai perasaannya. “Saya pernah mengalami kekecewaan besar di sini. Jadi mendapat peluang untuk terus beraksi terlalu hebat. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini.”

Joel Dahmen, seorang lagi pemain AS yang memburu kejuaraan sulung PGA AS, di tangga kedua dengan 272 selepas penamat 70 dengan pemain nombor dua dunia Rose dari England ketiga (273) dan pemain Sepanyol, Sergio Garcia, Paul Casey (England), Rickie Fowler (AS) dan Dufner (AS) semua berkongsi tangga keempat dengan 275.

Pemain yang memenangi kejuaraan PGA AS kali pertama di Quail Hollow sebelum ini termasuk Rory McIlroy pada 2010, Fowler pada 2012 dan Anthony Kim pada 2008.

Homa, bekas juara kolej AS berusia 28 tahun, gagal melepasi ‘cut’ pada Terbuka AS 2013 sebagai pemain amatur dalam satu-satunya kejohanan utama disertainya namun kini dia menempah tempat untuk beraksi pada Kejuaraan PGA di Bethpage Black, dua minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 11:25 AM