TERABITE tidak letak sasaran tinggi di Kerteh.
TERABITE tidak letak sasaran tinggi di Kerteh.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terengganu Refinery & Aromatic Bicycle Team (TERABITE) tidak meletakkan sasaran menaiki podium sebaliknya mahu memeriahkan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 yang diadakan di Kerteh, 7 Oktober ini.

Ketua pasukan, Wan Mohd Fairus Wan Abd Rahman berkata, sebagai pasukan tempatan membuatkan dia bersama pelumba yang lain begitu teruja apabila perlumbaan seumpama itu diadakan di kawasan mereka.

“Kami memang tidak letakkan apa-apa sasaran dalam perlumbaan dan penyertaan kami hanyalah untuk memeriahkan kejohanan kerana ia diadakan di tempat kami sendiri.

“Sebelum ini juga, kami tidak pernah lepaskan peluang menyertai perlumbaan yang sama anjuran Harian Metro (HM) di Marang dan Temerloh, Pahang pada 2014.

“Apabila ia diadakan di Kerteh ini, agak rugi jika tidak bersama-sama memeriahkannya sebagai tanda sokongan terhadap penganjurannya,” katanya yang akan menyertai perlumbaan itu bersama sembilan pelumba yang lain.

Wan Mohd Fairus berkata, walaupun TERABITE adalah pasukan tempatan tetapi laluan yang digunakan pihak penganjur tidak pernah digunakan mereka.

Menurutnya, jadual kerja dalam kalangan pelumba pasukannya yang perlu mengikut syif membataskan mereka untuk membuat latihan bersama-sama.

“Kami hanya dapat berkumpul dan menjalani latihan di sekitar Kerteh sebanyak dua kali setiap minggu sebagai persiapan dengan fokus latihan di atas jalan raya untuk stamina.

“Bagaimanapun, latihan di laluan lasak agak sukar dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan Kerteh sejak kebelakangan ini selain tuntutan kerja.

“Agak sukar untuk kami berkumpul sebab masing-masing ada waktu kerja yang berbeza. Untuk latihan di laluan lasak pula, ia perlu dijalankan secara berkumpulan kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia bersama pasukannya giat melakukan latihan akhir sebagai persiapan menghadapi HMMTB yang hanya berbaki beberapa hari saja lagi.

“Tidak mengapa kalau tidak menang cuma kami harap segala-galanya berjalan lancar seterusnya mendekatkan semua peminat sukan berbasikal lasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 7:14 AM