Laluan yang akan ditutup bermula tengah malam ini hingga petang esok bagi menjayakan HMMTB 2017.
Laluan yang akan ditutup bermula tengah malam ini hingga petang esok bagi menjayakan HMMTB 2017.
Rosli Ilham


SERAMAI 30 anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan sepanjang Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 yang akan berlangsung di Kerteh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya akan menempatkan anggota di beberapa lokasi untuk keselamatan pelumba dan pengunjung serta mengawal lalu lintas.

Menurutnya, anggota polis juga akan dibantu 10 penguat kuasa Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melancarkan lagi tugas kawalan.

"Kami sudah mengadakan mesyuarat bersama agensi terbabit bagi menjalinkan kerjasama untuk melancarkan lagi proses kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang perlumbaan itu berlangsung.

"Kita juga akan menutup jalan di depan antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh yang dijadikan sebagai lokasi pelepasan perlumbaan. Jalan terbabit akan ditutup bermula 12 tengah malam ini hingga perlumbaan itu tamat pada sebelah petang esok," katanya.

Menurutnya, laluan kedua hala dari Kerteh ke Pengkalan Ranggon sejauh lapan kilometer pula ditutup dari 8 pagi hingga 12 tengah hari kerana digunakan oleh pelumba.

Katanya, penutupan jalan itu tidak akan mendatangkan masalah kepada orang ramai kerana terdapat jalan yang lain yang boleh digunakan mereka untuk keluar masuk ke kawasan terbabit.

"Kami berasa terpanggil untuk sama-sama membantu menjayakan sukan basikal lasak ini yang dilihat mampu merapatkan hubungan, menjalinkan perpaduan serta melahirkan masyarakat yang sihat.

"Sebagai tanda sokongan kami juga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman turut menghantar 12 pelumba untuk sama-sama memeriahkan acara sukan berbasikal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 11:50 AM