COATES (kanan) tertampan bola ke gawang sendiri. - Foto REUTERS
COATES (kanan) tertampan bola ke gawang sendiri. - Foto REUTERS
AFP

LISBON: Sebastian Coates menjaringkan gol sendiri sekali gus menghadiahkan Barcelona kemenangan 1-0 ke atas Sporting Lisbon di gelanggang lawan pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Uruguay itu secara tidak sengaja tertampan masuk dengan lututnya sepakan percuma Lionel Messi pada minit ke-49 untuk memberikan kelab Sepanyol itu kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D.

Juara Eropah lima kali itu mengetuai kumpulan dengan enam mata maksimum, di depan kedua-dua Sporting dan Juventus dengan tiga mata manakala Olympiakos masih belum meraih sebarang mata.

Barca kendalian Ernesto Valverde ternyata sukar digugat dalam La Liga setakat ini, menang enam aksi pertama untuk unggul tujuh mata di depan juara bertahan Real Madrid selain mengatasi Juve dalam aksi pertama di Eropah.

“Kami sedar untuk menang kami perlu menderita,” kata Valverde.

“Kami bermula garang dan mendominasi babak pertama. Selepas gol itu kami ada 10 atau 15 minit mereka menekan kami dan mencipta beberapa peluang.

“Tapi beginilah Liga Juara-Juara, anda perlu menderita untuk menang.”

Messi menyamai rekod bekas kapten Barca, Carles Puyol apabila melakukan penampilan ke-593 bersama kelab itu - ketinggalan hanya di belakang Andres Iniesta (638) dan Xavi Hernandez (767).

Namun bintang Argentina itu, kurang satu daripada 100 gol Eropah, gagal menyerlah pada babak pertama di ibu negara Portugal itu.

Bagaimanapun Barca memecah kebuntuan pada awal babak kedua apabila sepakan percuma Messi dari sebelah kanan melepasi dua pemain Sporting dan Luis Suarez menanduk sedikit bola sebelum terkena lutut Coates sekali gus melepasi garisan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 11:24 AM