MESSI (kanan) mengambil sepakan percuma ketika menentang Juve pada aksi UCL di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.
MESSI (kanan) mengambil sepakan percuma ketika menentang Juve pada aksi UCL di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.
AFP

BARCELONA: Barcelona mengetepikan krisis di luar padang apabila Lionel Messi sekali lagi menjadi inspirasi membalas dendam ke atas Juventus untuk membuka kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan bergaya 3-0 di Nou Camp, awal pagi tadi.

Messi terbabit dalam semua tiga gol apabila dia menewaskan Gianluigi Buffon buat kali pertama dalam kariernya untuk memecah kebuntuan pada masa kecederaan babak pertama.

Ivan Rakitic menambah gol kedua selepas larian pantas Messi dan hantaran silangnya merobek benteng Juventus pada minit ke-56 sebelum pemain Argentina itu melengkapkan jaringan dengan merembat masuk gol keduanya 19 minit sebelum tamat.

Kemenangan itu meletakkan Barca di tangga teratas Kumpulan D di depan Sporting Lisbon yang menang 3-2 di Olympiakos.

Permulaan musim Barca didominasi dengan gesaan terhadap presiden Josep Maria Bartomeu untuk meletakkan jawatan berikutan perpindahan dengan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain dan kelab Catalunya itu bergelut mencari pengganti bintang Brazil itu.

Bagaimanapun, Ousmane Dembele menyerlah dalam penampilan sulung penuhnya berikutan perpindahan dengan harga 105 juta euro (RM529 juta) dari Borussia Dortmund, ketika Barca membuktikan selagi ada Messi mereka boleh hidup tanpa Neymar.

RAKITIC (kanan) mengekang pemain Juventus, Paulo Dybala.
RAKITIC (kanan) mengekang pemain Juventus, Paulo Dybala.

“Kami sedar apabila dia mendapat bola apa saja boleh berlaku,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde selepas tugasan pertamanya dalam Liga Juara-Juara sebagai pengurus.

“Saya pernah menderita beberapa kali bermain menentang Messi dan kini saya bertuah kerana memilikinya dalam pasukan saya.”

Bos Juventus, Massimiliano Allegri bagaimanapun kurang terpikat dengan persembahan Messi ketika beliau menyalahkan benteng pertahanannya kerana memberikan ruang terlalu luas kepada Pemain Terbaik Dunia lima kali itu.

“Kami memberinya terlalu banyak ruang, kami memudahkan tugasnya,” ujar Allegri.

“Kami perlu faham apabila bermain dalam Liga Juara-Juara menentang pasukan di tahap ini, kami perlu berwaspada setiap minit perlawanan.

“Menentang pasukan berbeza tanpa Messi, kami tidak akan melepaskan gol itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:00 AM