Andrea jual tiket kepada Ultras. FOTO AFP
Andrea jual tiket kepada Ultras. FOTO AFP
BBC

PRESIDEN Juventus Andrea Agnelli digantung selama setahun selepas didapati terbabit dalam urusan penjualan tiket kepada kumpulan penyokong ada kaitan dengan mafia Itali.

Agnelli, 41 didenda sebanyak 20,000 euros (RM99,000) sementara Juventus perlu membayar 300,000 euros (RM1.4 juta) serta tiga pegawai kelab itu turut dikenakan penggantungan.

Dia dituduh membantu menjual tiket dengan tujuan menjual semula kepada penyokong 'ultras' untuk mengaut keuntungan.

Ada sesetengah penyokong dikaitkan dengan jenayah terancang.

Agnelli serta kelab itu mahu membuat rayuan.

Pendakwaraya Giuseppe Pecoraro membuat permohonan penggantungan selama 30 bulan dan denda 50,000 euro (RM248,000) terhadap Agnelli pada sesi perbicaraan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

Pecoraro turut meminta agar Juventus bermain dua perlawanan tanpa penyokong.

"Saya berpuashati kerana kami dapat membuktikan setiap seorang yang terbabit didapati bersalah tetapi penemuan ini sangat serius.

“Pada pendapat saya mereka sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat, jadi kami akan membuat rayuan," kata Pecoraro selepas perbicaraan itu.

"Saya rasa pergi ke mahkamah lain juga dapat membantu. Perlu diingat mereka adalah jenayah terancang dan ia sangat serius," katanya.

Agnelli menafikan berurusan dengan Rocco Dominello, seorang penyokong dikatakan ada kaitan rapat dengan kumpulan mafia N’drangheta berpangkalan di Calabria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 4:27 PM