AKSI Dybala selepas menjaringkan gol ketika menentang Genoa. FOTO AFP
AKSI Dybala selepas menjaringkan gol ketika menentang Genoa. FOTO AFP
AFP

Milan: Presiden Juventus, Andrea Agnelli berkata juara Itali itu menunggu jawapan penyerang Argentina, Paulo Dybala mengenai tawaran kontrak yang bakal menjadikan dia antara 20 pemain mendapat bayaran paling mahal di Eropah.

Dybala yang meledak gol pertamanya di Serie A dalam tempoh lima bulan ketika menewaskan Genoa 3-1 kelmarin memberitahu wartawan dia tidak mendapat sebarang berita mengenai tawaran melanjutkan kontraknya yang tamat pada Jun 2022.

"Terdapat banyak perkara tidak betul diperkatakan mengenai kontrak saya,'' katanya.

Agnelli menegaskan pemain berusia 27 tahun itu yang dijangkiti koronavirus selama enam minggu pada awal tahun ini sudah pun ditawarkan kontrak yang meletakkannya antara 20 pemain bergaji paling mahal di Eropah.''

"Kami sabar menunggu jawapannya,'' kata Agnelli di Turin.

"Berita positifnya ialah dia kembali menjaringkan gol. Paulo berdepan detik sukar ketika koronavirus dengan proses pemulihan yang lambat.

"Saya gembira mendengar kenyataannya yang sayangkan Juve. Kami nampak Paulo sebagai kapten masa depan pasukan. Sekarang pun dia selalu memakai lilitan kapten.

"Dia tahu mengenai tawaran itu dan kami sabar menunggu jawapannya.''

Dybala menyertai Juventus dari Palermo pada 2015 dan menjaringkan 97 gol bersama kelab dan menjuarai lapan trofi utama termasuk lima gelaran Serie A.

Dia kerap dikaitkan dengan perpindahan sejak beberapa bulan lalu dan dilaporkan hampir ditandatangani kelab Liga Perdana, Manchester United dan Tottenham tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 2:07 PM