SYAFIQ
SYAFIQ
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad terjun negara menutup tirai Kejohanan Terjun Grand Prix FINA di Australia dengan satu emas dan satu gangsa menerusi acara 3 meter terjun seirama campuran dan 10 meter platform individu.

Pingat emas dihadiahkan oleh gandingan Muhammad Syafiq Puteh dan Wendy Ng manakala terjunan Chew Yiwei menghadiahkan gangsa dalam acara 10m platform.

Syafiq dan Wendy mengumpul 297 mata untuk merangkul emas menewaskan gandingan tuan rumah Esther Qin dan Matthew Mitcham perak, manakala Anabelle Smith dan Joshua Kehagias juga dari Australia gangsa.

Tanpa kehadiran penerjun utama Ooi Tze Liang yang sudah melayakkan diri ke Olimpik membuka peluang buat Yiwei mendapat suntikan semangat baru bagi memburu tempat ke temasya Olimpik Rio untuk terus merangkul pingat selepas menyumbang perak dalam acara 10m platform seirama, kelmarin.

Berbekalkan semangat Malaysia Boleh, Yiwei mempamerkan aksi terjunan konsisten biarpun terpaksa berdepan cuaca sejuk dan angin kuat, namun atlet kelahiran Selangor itu menegaskan kejohanan di Gold Coast itu satu pendedahan baik kerana pusat akuatik itu akan digunakan bagi Sukan Komanwel 2016.

“Malaysia Boleh. Itulah semangat yang saya pegang. Saya yakin kita mampu lakukannya. Biarpun cabarannya agak sukar, tapi saya akan berusaha demi negara dan saya cukup gembira dapat membawa pulang pingat.

“Saya harap dapat meneruskan terjunan terbaik selepas ini dan dua pingat iaitu satu perak dan satu gangsa di Australia serta satu emas ketika bergandingan bersama Ahmad Amsyar Azman dalam 3m papan anjal terjun seirama di Kuala Lumpur minggu lalu dapat membawa saya untuk layak ke Rio tahun depan,” katanya.

Yiwei tewas kepada penerjun China, Huang Zigan yang mengumpul 511.70 mata untuk emas, manakala perak juga milik penerjun China, Tai Xiaohu yang hanya ketinggalan 0.05 mata kepada juara dan Yiwei ketiga meraih 401.35 mata.

Sementara itu, penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri yang beraksi dalam acara 3m papan anjal menamatkan cabaran di tempat keempat tewas kepada Wang Han dari China untuk emas, Esther dan Maddison Keeney masing-masing dari Australia untuk perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:09 AM