Mun Yee (bawah) bersama Jellson  beraksi pada  acara 10 meter platform seirama campuran yang meraih emas pada sukan SEA lalu.
Mun Yee (bawah) bersama Jellson beraksi pada acara 10 meter platform seirama campuran yang meraih emas pada sukan SEA lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belum tiba masanya buat penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee mengundurkan diri dari sukan itu.

Malah, masih banyak misi yang kini dalam perancangan atlet berusia 32 tahun dari Perak itu dengan tiga kejohanan Grand Prix bermula di Kuala Lumpur, Singapura dan Gold Coast akan disertainya selepas ini.

Katanya, ketika dia berasa masih mampu mewakili negara, tidak ada sebab untuknya memikirkan soal persaraan.

“Jika prestasi saya memuaskan, saya akan teruskan lagi. Saya masih mahu mewakili negara biarpun ketika ini ramai penerjun muda,” katanya.

Bagaimanapun, ketika diajukan soalan sama ada dia akan terus beraksi di Sukan Komanwel, Mun Yee berkata, dia tidak mahu memikirkan perkara itu sekarang kerana temasya sukan berkenaan hanya akan berlangsung tahun depan dan apa yang lebih penting adalah memikirkan tiga kejohanan untuk tahun ini terlebih dulu.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), Mun Yee menyumbangkan dua emas, sekali gus menjadikan jumlah 17 emas keseluruhan dalam kariernya di temasya dwitahunan itu.

Dia tampak bersahaja ketika beraksi apatah lagi pengalamannya di peringkat sedemikian sudah tidak perlu dipersoalkan lagi.

Kata Mun Yee, dia cukup berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan bersama penerjun muda, Jellson Jabillin dan Traisy Vivien dalam acara terjun 10m seirama campuran dan 10m terjun seirama wanita.

“Prestasi penerjun muda semakin memberangsangkan. Bagaimanapun mereka memerlukan masa untuk mengasah keupayaan dengan terjunan yang lebih sukar.

“Berdasarkan prestasi di Sukan SEA kali ini, saya yakin mereka boleh pergi lebih jauh terutama mewakili negara ke Sukan Komanwel mahupun Asia,” katanya.

Pada temasya KL2017, skuad terjun berada di prestasi terbaik dan nyata tiada tandingannya di rantau Asia Tenggara apabila menyapu bersih 13 emas yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 2:41 AM