AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp (gambar) semakin tertekan untuk mengatasi masalah pertahanan yang kronik ketika mereka berdepan aksi kedua Liga Juara-Juara menentang Spartak Moscow di laman lawan, awal pagi Rabu ini.

Liverpool menamatkan aksi empat perlawanan tanpa menang selepas mengatasi Leicester City di gelanggang lawan Sabtu lalu, namun mereka melepaskan 10 gol dalam tiga aksi Liga Perdana berturut-turut di laman lawan buat kali pertama dalam sejarah 25 tahun pertandingan itu.

Anak buah Klopp hanya tidak dibolosi dua kali dalam 10 perlawanan musim ini dan beliau mengakui selepas kekalahan 0-2 kepada Leicester dalam Piala Liga bahawa beliau amat “bosan” melepaskan gol mudah.

Dipaksa seri 2-2 oleh Sevilla dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara dua minggu lalu, Liverpool gagal mengekalkan pintu gol daripada dibocori dalam 11 daripada 12 perlawanan terakhir mereka dalam pertandingan itu.

Namun di sebalik kekhilafan benteng mereka, yang disebabkan kegagalan mereka menangani ‘set-piece’ akhir-akhir ini, Klopp enggan mengakui beliau berdepan masalah besar.

Ditanya mengenai kesukaran pasukannya di benteng menjelang perlawanan terbaru mereka di Leicester, beliau membantah: “Ia kelihatan seperti kami tidak meraih sebarang mata dan kami sebenarnya pasukan terburuk dalam liga.”

Jika Klopp enggan menerima kritikan, ia kerana pasukannya mampu memperagakan permainan bola sepak menyerang yang mempesonakan.

Liverpool membenam Arsenal 4-0 hujung bulan lalu dan dengan Sadio Mane, Roberto Firmino, Philippe Coutinho dan pemain baru Mohamed Salah mereka memiliki beberapa penyerang paling berbakat dalam Liga Perdana.

Apa yang diragui dan tidak dinafikan Klopp adalah selagi pasukannya menjaringkan gol di kubu lawan, beliau tetap tidak boleh tidur lena mengenai apa yang berlaku dalam kawasan penaltinya.

“Jika anda tanya saya: ‘Adakah anda mahu pasukan anda sempurna ketika mempertahankan set-piece, tapi tidak tahu bagaimana bermain bola sepak atau anda lebih suka cara yang berbeza?’ Saya lebih suka memilih yang kedua,” katanya.

Impian Liverpool untuk mengukuhkan benteng pertahanan mereka tidak dibantu oleh prestasi terumbang-ambing penjaga gol Simon Mignolet dan pilihan pemain Klopp sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 1:05 PM