SALAH (kiri) ledak gol pembukaan Liverpool. - Foto REUTERS
SALAH (kiri) ledak gol pembukaan Liverpool. - Foto REUTERS
AFP

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp menegaskan pasukannya semakin meningkat di sebalik tekanan dihadapi mereka sesudah tidak menang dalam empat perlawanan terdahulu yang berakhir dengan kemenangan 3-2 di Leicester City, awal pagi tadi.

Pasukan Klopp dikritik hebat ketika barisan serangan bertaraf dunia gagal menggunakan peluang manakala benteng pertahanan yang lemah menyebabkan pintu gol sering dibolosi.

Jaringan Mohamed Salah, Philippe Coutinho dan Jordan Henderson menyelesaikan satu daripada masalah itu ketika Reds menang di Leicester dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Namun pada perlawanan yang mana Liverpool mengancam untuk mendominasi apabila mereka mendahului 2-0 berakhir dengan benteng mereka bocor juga menerusi gol Shinji Okazaki dan Jamie Vardy.

HENDERSON (kiri) mudah menolak masuk gol ketiga Reds.  - Foto AFP
HENDERSON (kiri) mudah menolak masuk gol ketiga Reds. - Foto AFP

Mereka juga hampir dipaksa seri namun terselamat berikutan tindakan tangkas Simon Mignolet, yang menghadiahkan lawan tendangan penalti namun menebus kesilapan itu dengan menafikan sepakan penalti Vardy.

Klopp berkata: “Saya fikir kami berhak menang. Ia hari yang bagus. Saya suka bagaimana kami berjuang meraih keputusan ini. Selepas beberapa perlawanan tidak menang anda perlu kembali bangkit.

“Kami berasa kami kini dalam laluan yang bagus tapi kami perlu membuktikannya dengan keputusan jadi setiap orang boleh melihatnya. Anda boleh lihat ketika 2-0 permainan kelihatan agak berbeza, kami mahu menguasainya, tapi ia terlalu awal.

“Saya tahu mengenai tekanan, saya sebenarnya berdepan tekanan sepanjang hidup saya kerana beberapa alasan.

“Tekanan, apabila ia satu tekanan yang tepat, sering kali membantu. Kami mahu berjaya, kualiti yang kami miliki ini adalah tindak balas di bawah tekanan. Selepas beberapa perlawanan tanpa keputusan yang bagus kami perlu bangkit dan itulah yang kami lakukan.”

Salah membuka tirai jaringan buat Liverpool pada minit ke-15 menerusi tandukan kencang dari sudut sukar.

Reds dilihat akan menang mudah apabila Coutinho melencongkan sepakan percuma mengagumkan pada minit ke-23.

Leicester membalas semula menerusi Okazaki pada masa kecederaan babak pertama namun ketinggalan lagi apabila Henderson melengkapkan satu serangan balas pantas pada minit ke-68 sebelum tuan rumah bangkit sekali lagi melalui tandukan Vardy seminit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 9:14 AM