Reuters

Liverpool amat menyedari mereka perlu memperbaiki aspek pertahanan pasukan tetapi perlu mendapatkan keseimbangan di antara mengukuhkan bahagian pertahanan dan terus menampilkan aksi menyerang, kata penjaga gol kelab Simon Mignolet (gambar).

Penjaga gol Belgium itu adalah sebahagian daripada pertahanan yang teruk dikecam atas persembahan mereka ketika seri 3-3 di Watford pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, apabila Liverpool bolos gol penyamaan saat akhir menerusi gerakan set-piece.

Kepincangan Liverpool itu kembali terdedah sewaktu menang 2-1 dalam perlawanan pertama kelayakan Liga Juara-Juara ke atas Hoffenheim baru-baru ini apabila mereka bolos saat akhir untuk memberikan harapan buat kelab Jerman itu pada perlawanan timbal balik di Anfield minggu depan.

“Kami hanya boleh bermain satu cara iaitu menyerang. Kami tahu kami boleh menjaringkan gol,” kata Mignolet.

“Kami terlalu banyak bertahan ketika menentang Hoffenheim. Kami memang mantap, bertahan dengan baik ketika set-piece dan itulah yang kami perlu pelajari.

“Kami bukannya buta. Corak permainan semula jadi kami adalah menyerang dan kami sedar, kami perlu mengisinya dengan semangat bertahan yang kental. Kami sedar itulah aspek yang perlu diperbaiki.

“Anda tidak boleh mengubah pasukan yang kebiasaannya menyerang, tetapi kami boleh menggabungkannya dengan pertahanan yang bagus, semangat agresif yang memastikan lawan tidak menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 11:18 AM