AKSI Liverpool melawan Leicester berakhir dengan keputusan seri 1-1. -Foto AFP
AKSI Liverpool melawan Leicester berakhir dengan keputusan seri 1-1. -Foto AFP
Reuters

LONDON: Liverpool gagal memanfaat sepenuhnya kelebihan berikutan kekalahan pencabar utama Liga Perdana, Manchester City kepada Newcastle, semalam apabila diikat seri 1-1 oleh Leicester City, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Juergen Klopp berpeluang mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata di depan City yang tewas 1-2 kepada Newcastle di gelanggang lawan semalam tetapi keputusan menyaksikan mereka hanya menambah satu mata.

Seperti skuad kendalian Pep Guardiola, Liverpool tampak sedikit janggal dalam gerakan dan hantaran mereka sekali gus tidak berjaya memecah benteng Leicester pada perlawanan yang sejuk di Anfield.

“Kami kecewa dengan keputusan kerana kami mahu menang tetapi Leicester adalah pasukan yang bagus,” kata kapten Liverpool, Jordan Henderson.

“Ia bukan persembahan terbaik kami tetapi kami terus bergerak ke depan dan hanya tidak menemui gol kemenangan. Kami berpuas hati dengan mata yang diperoleh dan bersedia untuk perlawanan berikutnya.”

Liverpool bermula baik apabila Sadio Mane meletakkan tuan rumah mendahului seawal minit ketiga berpunca daripada gerakan baik Andy Robertson dan menewaskan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.

Begitupun, skuad kendalian Klopp gagal untuk mendapat rentak mereka sebelum Leicester menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama menerusi pertahanan England, Harry Maguire.

Tuan rumah merasakan mereka layak untuk mendapat penalti selepas Naby Keita dijatuhkan pertahanan lawan, Ricardo Pereira tetapi ia tidak diendahkan pengadil sekali gus mencetus berang pengurus dari Jerman itu.

“Ia mungkin situasi penalti paling jelas yang kami peroleh,” kata Klopp. “Pengadil berada di posisi terbaik di atas padang. Kamu perlu bertanya kepadanya mengapa dia tidak memberikan penalti.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:41 AM