LUKAKU jaring gol ketiga United ketika berdepan Everton. -Foto Reuters
LUKAKU jaring gol ketiga United ketika berdepan Everton. -Foto Reuters
AFP

MANCHESTER, England: Romelu Lukaku tidak menunjukkan sebarang sentimen selepas menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika Manchester United menang selesa 4-0 ke atas bekas kelabnya Everton sekali gus menjejaskan kepulangan Wayne Rooney ke Old Trafford, awal pagi tadi.

Pertahanan kanan Antonio Valencia membantu United mendahului awal menerusi sepakan menarik separa voli pada minit keempat sebelum gol lewat pemain tengah Henrikh Mkhitaryan (m-83), Lukaku (m-89) dan sepakan penalti Anthony Martial pada minit kedua masa kecederaan melengkapkan kemenangan itu.

Ketika seteru utama United, Manchester City menang besar 6-0 ke atas Watford 24 jam terdahulu, penyokong United mengharapkan anak buah Jose Mourinho terus memberikan tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

ROONEY (kiri) berborak dengan pemain United Michael Carrick selepas permaianan tamat. -Foto Reuters
ROONEY (kiri) berborak dengan pemain United Michael Carrick selepas permaianan tamat. -Foto Reuters

Mereka kini berada di belakang City dalam carta liga hanya kerana huruf C lebih dahulu berbanding U dalam abjad kerana kedua-duanya mempunyai rekod sama.

Everton pula dalam krisis kerana mereka kalah empat perlawanan berturut-turut tanpa menjaringkan sebarang gol dan kini di kelompok tiga tercorot.

Red Devils, beraksi tanpa Paul Pogba yang mengalami kecederaan, tidak begitu mantap dan lancar seperti sebelum ini dan bergantung harap kepada tiga gol dalam tujuh minit terakhir untuk melenyapkan cabaran lawan.

Rooney, penjaring gol terbanyak United sepanjang zaman, disambut baik oleh peminat United dan mengemudi ancaman gol Everton sebelum dia meninggalkan padang dengan tepukan gemuruh daripada penyokong tuan rumah selepas digantikan lapan minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 9:50 AM