PEMAIN New Zealand Chris Wood (kanan) cuba jaringkan gol ketika bertemu Kepulauan Solomon. - Foto  Agensi
PEMAIN New Zealand Chris Wood (kanan) cuba jaringkan gol ketika bertemu Kepulauan Solomon. - Foto Agensi
Reuters

WELLINGTON: Gol sulung antarabangsa Myer Bevan dan gol sendiri Haddis Gagame sudah cukup buat New Zealand untuk layak ke playoff antara benua bagi pusingan akhir Piala Dunia 2018 selepas seri 2-2 dengan Kepulauan Solomon di Honiara, hari ini.

Keputusan pada pusingan akhir kelayakan zon Oceania itu memberikan New Zealand kemenangan secara agregat 8-3 susulan menang 6-1 pada aksi pertama di Auckland.

Micah Lea’alafa menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama (m-28) dan kapten Henry Fa’arado melakukan perkara sama buat tuan rumah pada babak kedua (m-78), yang menggunakan kelebihan cuaca panas di Honiara untuk beraksi lebih baik berbanding Jumaat lalu.

New Zealand, yang layak ke Piala Dunia 1982 dan 2010, kini berdepan pasukan tangga kelima zon Amerika Selatan - kini dihuni juara dua kali Argentina - dalam dua aksi playoff November ini.

“Ia hari yang sukar, kami melakukan banyak pertukaran pemain dan saya gembira tugas ini dilaksanakan,” kata jurulatih All Whites, Anthony Hudson.

“Anda perlu memuji tuan rumah. Mereka memberikan segala-galanya dan ia satu ujian sebenar buat kami.”

All Whites sudah memastikan kemaraan ke playoff berikutan kemenangan besar di Auckland dan Hudson merehatkan beberapa pemain tonggak termasuk kapten Chris Wood, yang meledak hatrik Jumaat lalu.

“Ia keputusan yang bagus buat kami kerana kami ketinggalan 0-2 kepada pasukan profesional dan kebangkitan ini bagaikan satu kemenangan,” kata jurulatih Solomon dari Sepanyol, Felipe Vega-Arango.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 2:51 PM