AZIZULHASNI Awang
AZIZULHASNI Awang
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Juara keirin dunia Azizulhasni Awang percaya Velodrom Nasional Malaysia di Nilai akan melahirkan lebih ramai The Pocket Rocketman pada masa depan.

Malaysia jelas mempunyai barisan pelumba pecut berkualiti apabila mempamerkan dominasi penuh dalam acara trek Sukan SEA yang dipertandingkan selama tiga hari di situ.

Lebih membanggakan pelumba kelahiran Terengganu itu kehadiran penonton yang memenuhi setiap ruang velodrom, sekali gus memberi petanda positif terhadap perkembangan berbasikal khususnya trek.

“Sedikit emosi bagi saya kerana ini penampilan terakhir di Sukan SEA. Peluang selepas ini adalah buat muka baru yang jelas mempunyai bakat.

“Jika diberikan pendedahan tepat, saya pasti mereka akan menggantikan tempat saya. Saya percaya kita mampu melahirkan lebih ramai pelumba berbakat pada masa depan,” katanya.

Azizulhasni membuktikan kejaguhannya apabila memenangi acara keirin dan pecut individu selain meraih emas ke-111 yang menjadi sasaran kontinjen negara.

Bagaimanapun, prestasi barisan pelumba muda lain jelas mencuri perhatian seperti Shah Firdaus Sahrom, Shahriz Efendi Mohd Shahrin, Mohd Fadhil Zonis, Irwandie Lakasek, Mohd Khairil Nizam Rasol, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Muhamad Afiq Huznie Othman.

Malah ada antaranya turut memecahkan rekod kebangsaan.

Skuad trek negara memenangi 11 daripada 13 emas yang dipertandingkan di velodrom tertutup pertama negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:51 AM