Pemain Malaysia, Faizal Saari (tengah) melakukan jaringan ketika menentang Thailand di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, malam ini. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pemain Malaysia, Faizal Saari (tengah) melakukan jaringan ketika menentang Thailand di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, malam ini. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Naqib Nor Said


SELEPAS membelasah Indonesia 18-1 semalam, skuad hoki negara terus berpesta gol apabila membenam Thailand 6-0 dalam perlawanan kedua liga sepusingan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Malaysia kini berada di tangga teratas liga, mengumpul enam mata, mendahului Singapura dan Myanmar yang berkongsi empat mata.

Faizal Saari menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-14 dan 54 untuk gol ketujuhnya di Sukan SEA kali ini.

Empat lagi gol pasukan ranking ke-12 dunia itu dijaringkan Azri Hassan minit kelapan, Ramadan Rosli (m8, m59) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m10).

Skuad Speedy Tigers sepatutnya boleh menyumbat lebih banyak gol jika bukan kerana aksi kurang bertenaga di suku kedua dan ketiga apabila gagal menembusi benteng lawan.

Pujian harus diberi kepada penjaga gol Thailand, Wanchalerm Boonbut yang menafikan puluhan percubaan berbahaya skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang menguasai hampir 90 peratus perlawanan.

Dalam perlawanan mengalahkan Indonesia semalam, Speedy Tigers bermula garang membuka jaringan seawal minit pertama melalui Faizal Saari, sebelum gol kedua dan ketiga dijaring setiap dua minit kemudiannya masing-masing oleh Fitri Saari dan Razie Rahim.

Pasukan negara terus membolosi gawang Indonesia untuk berada dalam keadaan selesa di hadapan dengan sembilan jaringan sebelum menamatkan separuh masa pertama.

Indonesia bagaimanapun berjaya menembusi pertahanan Malaysia dan menjaringkan gol sebaik bermula babak kedua menerusi gol padang oleh Abdullah Al Akbar pada minit ke-34.

Anak didik Stephen Van Huizen bagaimanapun terus melipatgandakan serangan sebelum menamatkan perlawanan pertama mereka dengan jaringan 18 berbalas satu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 11:07 PM