Pemain Malaysia memperagakan emas yang dimenangi mereka selepas menundukkan Myanmar 14-0 pada final di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pemain Malaysia memperagakan emas yang dimenangi mereka selepas menundukkan Myanmar 14-0 pada final di Stadium Hoki Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Naqib Nor Said


KETIKA ramai mempersoalkan kejayaan mudah skuad hoki lelaki negara memenangi emas semalam, ketua jurulatihnya Stephen Van Huizen bingkas mempertahankan keputusan untuk menyenaraikan barisan terkuat pada temasya Sukan SEA kali ini.

Menurut jurulatih berusia 58 tahun itu, walaupun tahap hoki di temasya dwitahunan itu sedikit rendah, namun tetap menjadi impian barisan pemainnya beraksi di Sukan SEA apatah lagi dengan status Malaysia sebagai tuan rumah.

“Ini saja pasukan yang kita ada memandangkan Sukan SEA kali ini mempertandingkan empat acara hoki sekali gus memerlukan kelompok pemain yang besar.

“Lagipun ada 12 pemain daripada skuad kali ini yang tidak pernah beraksi di Sukan SEA, contohnya seperti Sukri Mutalib (kapten pasukan). Adakah adil untuk dia menghabiskan karier tanpa sebarang pingat di temasya ini.

“Ia adalah bagus untuk pemain merasai pengalaman beraksi di Sukan SEA, bukannya selalu pemain mendapat peluang bermain di Sukan SEA di laman sendiri,” katanya.

Malaysia jelas tiada tandingan pada temasya edisi ke-29 ini apabila menjaringkan 39 gol dalam empat perlawanan liga sepusingan dan hanya bolos dua gol selepas menyenaraikan barisan sama yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di India.

Bermula dengan kemenangan 18-1 ke atas Indonesia, Malaysian Tigers terus menyusun kemenangan besar dengan membenam Thailand 6-0, Singapura 9-1 dan Myanmar 6-0 pada pusingan awal sebelum menumbangkan Myanmar 14-0 di pentas final, semalam.

Daripada keseluruhan 53 gol yang terhasil, peledak berbisa Faizal Saari muncul penyumbang terbanyak dengan 12 gol diikuti Razie Rahim (10), Shahril Saabah (7), Fitri Saari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (6) serta Ramadan Rosli (5).

“Tetapi saya lihat ada pasukan yang menunjukkan peningkatan seperti Myanmar dan Thailand, malah Singapura juga kita berdepan kesukaran untuk kalahkan,” kata Van Huizen yang mengakui Malaysia berada pada satu tahap berbeza di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 3:01 PM