PUAH Mei Fong (dua dari kiri) cuba menghalang  pemain Brunei, DK Khalisha PG Abd Rahman, semalam.
PUAH Mei Fong (dua dari kiri) cuba menghalang pemain Brunei, DK Khalisha PG Abd Rahman, semalam.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Biarpun aksi hanya peringkat kelayakan untuk menentukan kedudukan ke separuh akhir, jurulatih bola jaring negara Tracey Robinson tetap mahu anak buahnya memberikan aksi terbaik seterusnya memenangi perlawanan menentang Singapura hari ini.

Tegasnya setiap perlawanan adalah penting untuk memberi motivasi kepada pemain dalam usaha mereka merampas kembali emas yang diraih Singapura dua tahun lalu.

Terdahulu pasukan bola jaring negara beraksi cemerlang apabila melakarkan kemenangan kedua pada pusingan kelayakan dengan membenam Brunei 64-27, semalam.

Norashikin Kamal Zaman yang beraksi di posisi GS (gol shooter) bijak menggunakan ketinggian dimiliki untuk menguasai kawasan D.

“Saya jadikan perlawanan hari ini untuk mengawal rasa gugup apabila turun bertemu Singapura esok (hari ini).

“Ketinggian saya nyata memberi kelebihan untuk mudah mengawal bola di depan jaring bagaimanapun cabaran sebenar akan bermula apabila kita bertemu Singapura nanti,” katanya.

Mengulas mengenai strategi berdepan musuh tradisi negara, Norashikin berkata, dia yakin dengan percaturan jurulatih seterusnya melakarkan rekod bersih tanpa kalah.

Pada perlawanan kedua menentang Brunei di Stadium Juara Bukit Kiara itu menyaksikan Malaysia mudah menguasai suku pertama apabila mendahului dengan 18-9.

Rentak permainan skuad negara terus konsisten pada suku kedua apabila melebarkan penguasaan untuk mendahului dengan 13 mata.

Memasuki babak ketiga, ketinggian dimiliki barisan pertahanan - Siti Fatimah Mustafa yang beraksi di posisi GK (gol keeper) dan Noramirah Dayan Noor Azhar GD (gol defend) - nyata memberi kelebihan kepada mereka untuk mengawal kubu negara dan menguasai perlawanan 47-21 sebelum menamatkan aksi suku keempat dengan kelebihan 37 mata.

Keputusan itu mungkin boleh menjadi pengukur sejauh mana kemampuan skuad negara selepas Singapura sebelum ini membelasah Brunei 62-37.

Pasukan bola jaring negara akan turun pada perlawanan ketiga peringkat kelayakan menentang Singapura pada jam 5.15 petang ini.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan Thailand menumpaskan Filipina 86-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 10:05 AM