TRACEY (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada pemain bola jaring ketika  menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara. -Foto OSMAN ADNAN
TRACEY (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada pemain bola jaring ketika menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara. -Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


MISI skuad bola jaring negara meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula apabila mereka menentang Thailand pada perlawanan pembukaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, esok.

Latihan intensif bersama jurulatih dari Australia, Tracey Robinson dan pendedahan latihan di Melbourne dan Gold Coast mengukuhkan lagi persediaan negara menghadapi cabaran semua pasukan bertanding terutama Singapura.

Di atas kertas, skuad yang diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali tidak berdepan masalah untuk menewaskan Thailand yang kali terakhir ditemui ketika Kejohanan Pra Sukan SEA, bulan lalu.

Pengurusnya Zaiton Abdul Ghani berkata, pemain kini bermotivasi tinggi dan akan berjuang berhabis-habisan untuk merealisasikan impian menggapai emas.

"Semua pemain sudah bersedia dan hanya menunggu masa untuk beraksi. Doa dari semua rakyat Malaysia amat diperlukan untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu di tangan Singapura.

"Saya tahu semua negara juga sudah mempersiapkan diri mereka seperti Brunei, Thailand dan Singapura. Tapi kita juga sudah bersedia. Apa yang pasti Malaysia akan berjuang untuk memburu emas," katanya.

Dua tahun lalu, skuad bola jaring negara tewas tipis kepada Singapura 43-46 pada perlawanan akhir dan kali terakhir bola jaring negara memenangi emas adalah pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:19 PM