Aminuddin anggap kekalahan kepada Pahang tidak luntur semangat. FOTO fail HM
Aminuddin anggap kekalahan kepada Pahang tidak luntur semangat. FOTO fail HM
Mohd Sharumnisham Shahbudin


PASUKAN bola sepak Kedah optimis mampu kekal di tangga kedua Liga Super 2017 sehingga penghujung musim selain akan berjuang habis-habisan mempertahankan Piala Malaysia 2017.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata, kekalahan 2-1 kepada Pahang dalam perlawanan tempoh hari tidak melemahkan semangat mereka memburu Piala Malaysia.

“Tempoh rehat sebulan yang ada ini akan digunakan sepenuhnya oleh Kedah meningkatkan latihan dalam mengharungi baki tiga perlawanan.

“Kehilangan tujuh pemain Kedah yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan lima ke skuad Sukan SEA 2017 tidak menjadi masalah kepada skuad Lang Merah untuk mengekalkan rentak permainan mantap,” katanya ditemui, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, memandang positif pemilihan pemain Kedah mewakili negara sekali gus membuktikan usaha KFA berjaya melahirkan ramai pemain berbakat.

Pemain Kedah yang dipilih ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada ke kem latihan pusat Harimau Malaya ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Khairul Helmi Johari, Akram Mahinan, Farhan Abu Bakar dan Fitri Omar.

Kedah kini mengumpul 34 mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Takzim dan diekori rapat Pahang dengan perbezaan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 7:40 PM