AUNI (kiri) dan Siti  bentuk gandingan mantap.
AUNI (kiri) dan Siti bentuk gandingan mantap.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persembahan cemerlang hingga meraih emas dalam saingan pra Sukan SEA bulan lalu menjadi suntikan semangat kepada atlet boling padang negara Auni Fathiah Kamis yang tampil buat kali pertama.

Gandingannya bersama atlet berpengalaman Siti Zalina Ahmad dalam acara pairs memastikan emas dalam saingan pemanas badan Sukan SEA di Pusat Lawn Bowl, Bukit Kiara bulan lalu.

“Saya mula mewakili negara sejak 2012 namun ini kali pertama menyertai Sukan SEA. Jadi saya memang mengharapkan emas pada penampilan di tempat sendiri ini,” katanya.

Kali terakhir boling padang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA adalah edisi 2007 di Korat, Thailand.

“Keyakinan semakin menebal selepas muncul juara pada kejohanan pra Sukan SEA terutamanya dengan kemampuan menewaskan pencabar utama dari Filipina.

“Saya sendiri sudah bergandingan sejak 2015 dengan Siti Zalina, jadi tiada sebarang masalah antara kami,” jelasnya.

Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) menetapkan sasaran untuk meraih empat daripada lapan emas yang dipertandingkan dalam usaha membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan.

Namun prestasi cemerlang pada kejohanan pra Sukan SEA hingga meraih enam emas memungkinkan sasaran itu mampu diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 10:56 AM